Orang Aztec Kawalan politik di lembah tengah Mexico yang berpenduduk ramai dan kaya dari segi pertanian telah mengalami kekacauan selepas tahun 1100. Orang Aztec, besar kemungkinan sebuah puak utara yang telah berhijrah ke lembah dan menduduki kota kecil di tepi tasik tengah yang besar telah secara beransur-ansur meluaskan kuasa. Mereka merupakan sebuah masyarakat yang mementingkan kemahiran kepahlawanan berbanding segala-galanya, dan penekanan ini memberikan mereka kelebihan terhadap puak saingan di kawasan tersebut. Menjelang akhir abad ke-15, orang Aztec mengawal keseluruhan pusat Mexico sebagai empayar ketenteraan yang mengumpul ufti daripada puak saingan. Budaya Aztec berasal daripada pengalaman nenek moyang mereka dan tidak berapa mencipta apa-apa yang baru. Mereka mempunyai pertanian maju yang menampung populasi yang sangat ramai. Mereka membina bangunan besar dengan reka bentuk agung dan berkembang subur dalam pelbagai seni. Mereka merupakan tukang logam yang mahir, tetapi tidak mempunyai besi. Kekurangan haiwan penarik yang sesuai, mereka tidak menggunakan roda sebagai penggerak. Salah satu ciri tersendiri budaya Aztec adalah kecenderungan mereka untuk membuat pengorbanan. Mitos orang Aztec mengatakan bahawa darah manusia perlu dikorbankan kepada Matahari supaya memberikan ia kekuatan untuk terbit setiap hari. Korban manusia dilakukan secara besar-besaran; beberapa ribu orang yang dikorbankan setiap hari bukanlah perkara asing. Mangsa sering dipancung atau disebat, dan jantung dipotong daripada badan mangsa hidup-hidup. Upacara korban dilakukan di puncak piramid supaya lebih dekat dengan matahari dan darah mengalir menuruni tangga. Walaupun ekonomi orang Aztec adalah berasaskan jagung, rakyat percaya bahawa tanaman bergantung pada bekalan korban darah yang berterusan. Permintaan yang tidak henti-henti untuk mangsa korban bermakna orang Aztec membiarkan kawalan yang longgar ke atas bandar-bandar satelit kerana pemberontakan yang kerap membuka peluang untuk menangkap mangsa baru. Semasa masa damai, "perang bunga" dianjurkan semata-mata sebagai pertandingan kekuatan dan kemahiran kepahlawanan, dan bertujuan untuk menangkap mangsa. Mereka berlawan dengan belantan kayu untuk mencacatkan anggota dan meyebabkan pengsan, bukannya membunuh. Apabila bertarung untuk membunuh, belantan dibariskan dengan bilah obsidian. Walaupun mereka mempunyai seni dan pertanian yang agung, orang Aztec apabila ditinjau kembali nampaknya merupakan masyarat yang sedang merosot. Mereka tidak mewariskan sebarang teknologi atau idea keagamaan atau teori politik yang penting. Tamadun mereka telah ditamatkan secara tiba-tiba dengan ketibaan orang Sepanyol pada awal abad ke-16. Sesudah dibinasakan oleh penyakit orang Eropah yang disebarkan oleh pedagang yang terdahulu, mereka tewas kepada tentera Sepanyol kecil yang dilengkapi dengan senjata keluli, senjata api dan menunggang beberapa ekor kuda. Kekejaman orang Aztec menyumbang kepada kejatuhan mereka dengan memudahkan orang Sepanyol untuk mendapatkan sekutu dalam kalangan orang bukan Aztec di Mexico.