Orang Bulgaria Menjelang abad keempat Masihi, Empayar Rom mengalami kesukaran untuk meneruskan kawalan terhadap kawasan taklukannya yang luas. Di Balkan, kumpulan lain telah merebut peluang ini untuk menjarah. Walaupun kebanyakan serangan mendadak ini berlaku hanya sementara, serangan dua kumpulan lebih bersifat tetap. Bermula abad keenam, puak Slav mula menjajah kawasan luas di Bulgaria masa kini. Walaupun budaya mereka dikongsi bersama, mereka tidak membangunkan mana-mana negara. Tugas ini akan dilaksanakan oleh orang Bulgaria-Proto, penunggang kuda separa nomad daripada Asia Tengah. Bersama-sama, penduduk baru ini membentuk bangsa Bulgaria dan menubuhkan dua empayar berkuasa di kawasan Balkan pada zaman pertengahan. Sekitar tahun 670 Masihi, Asparukh, anak kepada Khan (raja) Bulgaria-Proto yang mangkat, telah mengetuai orangnya ke delta Danube untuk mencari padang ragut baharu. Pada beberapa tahun seterusnya, Asparukh telah menyatukan para peneroka Slav di bawah pemerintahannya. Namun, sebagai kerajaan pewaris Empayar Rom, Empayar Byzantine masih menuntut wilayah tersebut. Maharaja Constantine IV melancarkan beberapa kempen untuk mempertahankan kawasannya tetapi dia menghadapi tentangan yang kuat. Penyerang-penyerang ini menggabungkan dua aspek terbaik yang berlainan: orang Slav mengerahkan ramai infantri ringan, manakala orang Bulgaria-Proto mengerahkan penunggang kuda berperisai penuh, setiap satu dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata. Sepanjang tempoh zaman pertengahan, pasukan berkuda berat kekal sebagai tulang belakang tentera Bulgaria dan merupakan salah satu kuasa tentera yang paling digeruni di seluruh Eropah. Selepas beberapa kekalahan, Constantine IV terpaksa melepaskan tuntutan Byzantine ke atas tanah di utara Pergunungan Balkan, menandakan kelahiran Empayar Bulgaria Pertama (681-1018). Walau bagaimanapun, masa hadapan empayar ini masih tidak pasti, kerana orang Byzantine terus sentiasa cuba untuk menjajah semula wilayah yang hilang tersebut. Secara dalaman, negeri baharu tersebut terbahagi antara golongan bangsawan Bulgarian-Proto dan penduduk Slav walaupun terdapat perkembangan awal bahasa Bulgaria Lama. Hanya pada abad kesembilan, Boris I (r. 852-889) menubuhkan asas identiti bersatu. Dengan menerima agama Kristian sebagai agama rasmi negara, baginda mewujudkan titik persamaan bagi semua kumpulan etnik. Baginda turut menubuhkan sekolah kesusasteraan Pliska-Preslav, yang mendorong ciptaan huruf Cyril, membolehkan penghasilan karya bertulis dalam bahasa Bulgaria Lama. Di bawah pemerintahan anak Boris, Simeon yang Agung (r. 893-927), Empayar Bulgaria Pertama memasuki zaman kegemilangan. Selepas berjaya berkempen menentang orang Byzantine dan orang Magyar, Simeon meluaskan empayar sehingga tahap paling luas, menguasai hampir keseluruhan Balkan. Apabila seni dan sastera berkembang, Bulgaria menjadi pusat budaya Slav Eropah dan Bulgaria Lama menggantikan Yunani sebagai lingua franca. Kekayaan untuk membiayai kempen budaya dan ketenteraan ini datang terutamanya daripada perdagangan. Disebabkan kedudukan tengah-tengah di antara orang Rus dan Byzantine, Bulgaria berfungsi sebagai hab perdagangan utama bagi besi berharga, kuda dan hamba. Walaupun perdagangan yang semakin meningkat tersebut mewujudkan tahap urbanisasi tertinggi di seluruh Eropah, kebanyakan orang Bulgaria menyara hidup dengan aktiviti pertanian dan penternakan haiwan. Selepas Simeon mangkat, empayarnya telah merosot. Semakin lemah kerana peperangan yang tidak henti-henti, Bulgaria kemudiannya ditakluk oleh tentera Byzantine pada tahun 1018. Walaupun dengan pembaharuan politik yang kuat, orang Bulgaria mengekalkan identiti budaya berasingan mereka. Bila-bila orang Byzantine mengenakan cukai yang tinggi, identiti ini menjadi perantara yang kuat untuk menyalurkan pergolakan sosial sehingga menjadi pemberontakan. Pada tahun 1185, pemberontakan yang diketuai adik-beradik aristokrasi Asen dan Peter berjaya mengusir orang Byzantine. Empayar Bulgaria Kedua (1186-1396) dengan pantas menjadi kuasa besar Balkan di bawah pemerintahan Tsar Ivan Asen II (r. 1218-1241). Seni, seni bina dan kesusasteraan berkembang sehingga abad keempat belas, menjadikan Bulgaria sekali lagi sebagai pusat budaya utama Slav Eropah. Walau bagaimanapun dari segi politik, empayar tersebut tidak dapat menandingi empayar terdahulunya. Selepas Ivan II, ia terus diancam oleh negara jiran dan pemberontakan dalaman, seperti pemberontakan 1277 oleh penggembala khinzir Ivaylo. Pada tahun 1396, satu kuasa besar baru akhirnya menamatkan kemerdekaan Bulgaria: Empayar Uthmaniyyah mendominasi kawasan Balkan selama 500 tahun yang seterusnya.