Orang Burma Sejak zaman prasejarah, padang yang subur, sungai yang boleh dilayari dan perlindungan gunung di sekeliling telah menarik banyak kumpulan etnik untuk menetap di kawasan Myanmar (Burma) hari ini. Antara akhir milenium pertama Sebelum Masihi dan abad kesembilan Masihi, sejumlah negara kota muncul akibat peningkatan kegiatan penanaman beras dan peningkatan perdagangan Indo-China. Serupa dengan tatanegara awal Asia Tenggara yang lain, budaya mula dipengaruhi oleh interaksi bersama India. Kebanyakan tamadun bandar Myanmar beransur-ansur memeluk agama Buddha dan membina banyak kuil. Kuil berbentuk silinder tinggi ini, dipanggil stupa, menjadi prototaip untuk seni bina agama seterusnya. Sebagai contoh, Pagoda Shwezigon abad kesebelas yang terkenal adalah berasaskan rekaan ini. Semasa Zaman Pertengahan, dua negara berjaya dalam menyatukan tatanegara berlainan Myanmar menjadi satu empayar berkuasa. Pada tahun 1044, Anawrahta Minsaw (1044-1077) menaiki takhta kerajaan Pagan kecil di wilayah Myanmar Utara. Selepas menyatukan kuasa ekonomi negara melalui pembinaan rangkaian pengairan meluas, Anawrahta menakluk hampir kesemua Myanmar Utara dan Selatan. Sekitar tahun 1200, Empayar Pagan (1044-1297) telah mencapai kemuncaknya: bahasa Burma menjadi lingua franca, undang-undang telah dikanunkan dan wilayah telah mencapai keluasan yang terbesar sekali Empayar Pagan hanya mempunyai bilangan askar tetap yang terhad di ibu kota, dipanggil sebagai wira berani, tetapi pasukan tambahan dapat dikerah semasa berlaku peperangan. Bahagian utama tentera terdiri daripada infantri. Beberapa gajah perang, iaitu unit elit tentera dan merupakan satu simbol kuasa, diperuntukkan kepada setiap pasukan. Gajah-gajah tersebut sering dilengkapkan dengan Rengga, sejenis pembawa, yang boleh digunakan oleh pemanah sebagai tempat memanah. Selain itu, orang Burma mengerah pasukan tentera berkuda besar. Para askar berlawan dengan pelbagai senjata, termasuk pedang, lembing, busur dan damak. Walaupun mereka mencapai banyak kemenangan semasa abad kesebelas dan abad kedua belas, tentera Pagan akhirnya ditewaskan oleh orang Mongol pada tahun 1285. Tanpa kepimpinan yang hebat, empayar tersebut akhirnya berpecah menjadi negara bersaingan. Menjelang abad keempat belas, empat negara telah memenuhi kekosongan Empayar Pagan walaupun pemerintahan mereka sering dicabar dan vasal kerap memberontak. Sementara empat negara ini berperang antara satu sama lain, kerajaan kecil Toungoo meraih keuntungan dengan menyambut baik orang pelarian, meluaskan wilayahnya dan menyerang kota-kota jiran. Pada tahun 1510, Raja Mingyinyo (1485-1530) telah mengisytiharkan kemerdekaan. Di bawah penggantinya, iaitu Raja Tabinshwehti (1530-1550) dan terutamanya Raja Bayinnaung (1550-1581), Toungoo berkembang daripada kerajaan kecil kepada empayar terbesar Asia Tenggara, merangkumi hampir keseluruhan Myanmar, Thailand dan Laos masa kini. Dengan menggunakan banyak senjata api dan mengupah artileri orang Portugis, orang burma mempunyai kelebihan teknologi dalam pertempuran. Walau bagaimanapun, perkembangan mendadak ini membuatkan Empayar Toungoo sukar ditadbir. Tidak lama selepas kemangkatan Bayinnaung, negeri-negeri lain memberontak. Bukannya memperkukuhkan wilayah teras kerajaan, anak Bayinnaung, iaitu Raja Nanda (1581-1599), berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan keseluruhan empayar besar. Kegagalan beberapa kempen terhadap kerajaan Thai Ayutthaya telah melemahkan kekuatan tentera Toungoo. Penuaian yang gagal akibat pendinginan iklim telah melemahkan ekonomi empayar. Pada 1599, bandar Toungoo dikepung dan dibakar sehingga musnah, menandakan tamatnya Empayar Burma kedua.