Orang Byzantine Orang Byzantine mengambil nama mereka daripada Byzantium, kota purba di Bosphorus yang merupakan laluan air strategik menghubungkan Laut Hitam ke Laut Aegean. Maharaja Rom iaitu Constantine menamakan semula kota ini sebagai Constantinople pada abad keempat dan menjadikannya sebagai ibu kota kembar empayarnya. Bahagian wilayah timur Empayar Rom telah berkekalan selepas kejatuhan bahagian barat selama seribu tahun, dan melindungi Eropah daripada serangan timur seperti orang Parsi, Arab dan Turki. Orang Byzantine bertahan kerana kota Constantinople dilindungi dengan kukuh oleh tembok dan kota tersebut boleh mendapatkan bekalan daripada laut. Pada kemuncaknya iaitu abad keenam, orang Byzantine menakluki kebanyakan wilayah asal Empayar Rom, kecuali Semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal moden ), Gaul (Perancis moden) dan Britain. Orang Byzantine turut menguasai Syria, Mesir dan Palestin, tetapi pada pertengahan abad ketujuh wilayah tersebut telah dirampas oleh orang Arab. Sejak itu, empayar mereka terdiri terutamanya daripada wilayah Balkan dan Turki moden. Maharaja agung pertama Byzantine ialah Justinian I (482 hingga 565). Cita-cita baginda adalah untuk memulihkan Empayar Rom lama dan baginda hampir berjaya. Berkhidmat untuk baginda, Belisarius merupakan jeneral terhebat pada zaman tersebut, melintasi empayar untuk menewaskan orang Parsi di Timur, orang Vandal di Afrika Utara, orang Ostrogoth di Itali dan orang Slav di Balkan. Selain kempen ketenteraan, Justinian membina asas untuk masa depan dengan mengukuhkan sistem undang-undang dan pentadbiran yang kuat dan juga dengan mempertahankan Gereja Kristian. Ekonomi Byzantine adalah yang terkaya di Eropah selama beberapa abad kerana kota Constantinople terletak secara strategik di laluan perdagangan antara Asia, Eropah, Laut Hitam dan Laut Aegean. Ia merupakan destinasi penting untuk Jalan Sutera dari China. Nomisma, syiling emas utama Byzantine merupakan piawai bagi duit di seluruh Mediterranean selama 800 tahun. Kedudukan strategik kota Constantinople akhirnya menarik perhatian negara kota Itali yang penuh cemburu dan kemarahan. Kekuatan utama Empayar Byzantine ialah tenteranya yang lebih hebat yang menggunakan unsur terbaik daripada pengalaman peperangan Rom, Yunani, Goth dan Timur Tengah. Teras tentera mereka merupakan pasukan kejutan yang terdiri daripada pasukan berkuda berat yang disokong oleh infantri ringan (pemanah) dan infantri berat (askar pedang berperisai). Tentera disusun kepada unit-unit dan dilatih tubi dari segi taktik dan rancangan. Pegawai-pegawai menerima pendidikan dalam teori dan sejarah ketenteraan. Walaupun biasanya menghadapi kumpulan pahlawan tidak terlatih dengan jumlah yang lebih banyak, ia dapat diatasi dengan taktik bijak dan disiplin yang tegas. Tentera disokong oleh rangkaian pengintip dan ejen risikan yang memberikan maklumat tentang rancangan musuh dan dapat digunakan untuk menyogok atau juga mengubah rancangan penceroboh. Tentera laut Byzantine memastikan laluan laut terbuka untuk perdagangan dan laluan bekalan bebas supaya penduduk kota tidak akan kebuluran sehingga mereka menyerah diri apabila dikepung. Pada abad kelapan, serangan tanah dan laut oleh orang Arab ditumpaskan sebahagian besarnya kerana senjata rahsia mereka, api Yunani. Senjata kimia ini, yang tidak lagi diketahui kandungannya masa kini ialah sejenis napalm cecair yang boleh disembur daripada hos. Tentera laut Arab hancur di laut kerana api Yunani. Pada abad ketujuh dan lapan, orang Arab menawan Mesir, Timur Tengah, Afrika Utara dan Sepanyol, merampas kawasan ini secara tetap daripada kawalan Byzantine. Kemenangan orang Turki di Manzikert pada tahun 1071 membawa kepada kemusnahan Asia Kecil, sumber paling utama empayar bagi bijirin, lembu, kuda dan askar. Pada tahun 1204 tentera Salibi yang diketuai Doge daripada Venice menggunakan unsur khianat untuk menjarah dan menakluk kota Constantinople. Pada abad keempat belas, orang Turki menyerang Eropah, menawan kota Adrianople dan melangkau kota Constantinople. Mereka membina petempatan di Balkan dalam jumlah yang besar dan menewaskan tentera salibi besar di Nicopolis pada tahun 1396. Pada Mei 1453, Sultan Turki iaitu Sultan Mehmet II menakluk kota Constatinople yang telah dilemahkan dengan bantuan meriam berat. Kejatuhan kota ini mengakibatkan tamatnya Empayar Byzantine.