Penyebaran Kastil di Eropah Bermula dari abad kesembilan, pemerintah tempatan mula membina kastil di seluruh Eropah. Pada asalnya ia merupakan kastil dengan reka bentuk dan pembinaan yang ringkas tetapi telah berkembang menjadi kubu batu. Banyak kastil ini dimiliki oleh raja atau vasal raja, tetapi kebanyakan daripadanya telah dibina atas dasar kepentingan diri oleh bangsawan tempatan. Ia dibina atas alasan ancaman orang gasar, tetapi para bangsawan menggunakannya untuk memantapkan kawalan penduduk tempatan. Ini boleh dilakukan kerana Eropah tidak mempunyai pertahanan yang strategik dan tiada pihak berkuasa pusat yang kuat pada ketika itu. Satu contoh penyebaran kastil di Eropah ialah kawasan Poitou di Perancis. Terdapat tiga buah kastil di sana sebelum serangan Viking bermula pada abad kesembilan dan 39 kastil pada abad kesebelas. Pola ini diulangi di seluruh Eropah. Kastil dapat dibina dengan pantas. Sebelum kemunculan meriam, askar pertahanan kastil mempunyai kelebihan yang besar berbanding mana-mana penyerang. Pembinaan kastil yang meluas dan penyimpanan angkatan tentera yang besar untuk pertahanan mereka tidak menimbulkan kedamaian dan pertahanan bersama terhadap penceroboh, sebaliknya hanya menimbulkan peperangan yang berterusan. Perkembangan Kastil Kastil yang terawal merupakan sejenis kastil yang dipanggil "motte dan bailey." Motte merupakan timbunan tanah rata yang luas, biasanya setinggi 50 kaki. Sebuah menara kayu dibina di atas motte tersebut. Di bawah motte terdapat kurungan di dalam kubu berkayu yang dipanggil bailey. Di sini terletaknya rumah stor, petak ternakan dan pondok. Kedua-dua motte dan bailey merupakan kepulauan kecil yang dikelilingi oleh parit yang berisi air, yang digali untuk membina motte. Sebuah jambatan dan laluan sempit yang curam menghubungkan dua bahagian kastil. Semasa dalam keadaan yang berbahaya, askar pertahanan akan berundur ke dalam menara jika bailey tidak dapat dipertahankan. Pada abad kesebelas, batu mula menggantikan tanah dan kayu dalam pembinaan kastil. Menara kayu di atas motte digantikan dengan pengubuan batu bulat yang dipanggil rangka menara utama. Ini kemudian diubah menjadi menara atau menara utama. Sebaris tembok batu mengepungi bailey lama dan menara utama, dan kemudiannya dikelilingi parit ataupun parit pertahanan. Satu pintu gerbang berkubu dilindungi oleh sebuah jambatan angkat dan portkulis menuju ke dalam kastil. Contoh jenis kastil menara utama asas yang terkenal ialah Menara London asal, yang dibina oleh William Si Penakluk. Struktur empat segi yang besar ini pada mulanya berdiri sendiri dan dicat kapur untuk menarik perhatian. Kemudian raja-raja menambah baik kastil ini dengan dinding tirai dan penambahbaikan lain yang dilihat kini. Reka bentuk kastil berkembang apabila tentera salibi dari Timur kembali dengan berita tentang pengubuan dan enjin pengepungan yang mereka temui dalam perjalanan mereka. Kastil sepusat direka yang mengelilingi menara utama pusat dalam dua atau lebih lingkaran tembok. Tembok-tembok telah diperkukuhkan dahulu dengan menara empat segi dan kemudian menara bulat. Penjuru bersudut pada menara empat segi mudah untuk dipotong, menyebabkan seluruh menara amat terdedah kepada bahaya. Menara bulat lebih tahan terhadap serangan. Baluarti dibina di atas tembok dan menara untuk membuat pertempuran dari atas lebih efektif. Meriam muncul di Eropah pada awal abad keempat belas, tetapi artileri pengepungan yang berkesan tidak digunakan sehingga pertengahan abad kelima belas. Reka bentuk kastil berubah disebabkan oleh kekuatan meriam. Tembok tegak yang tinggi digantikan dengan tembok bercerun rendah. Menjelang pertengahan abad kelima belas kastil mengalami kemerosotan akibat kebangkitan kuasa raja-raja. Pada abad kesebelas William Si Penakluk menuntut pemilikan kesemua kastil di England untuk membebaskannya daripada genggaman para bangsawan. Menjelang abad ketiga belas keizinan daripada raja diperlukan untuk membina sebuah kastil atau menguatkan kastil yang sedia ada. Raja-raja berusaha untuk menyahtentera kastil untuk mengurangkan kebergunaannya kepada potensi pemberontak. Kastil telah ditinggalkan sebagai tempat kediaman golongan bangsawan dan menjadi terbiar. Kota berkubu menjadi semakin penting kerana kekayaan tanah telah bertukar ke kota. Pembinaan Kastil Pembinaan sebuah kastil mungkin mengambil masa kurang dari setahun atau sehingga 20 tahun untuk disiapkan. Selama beberapa abad, pembinaan kastil merupakan industri yang penting. Tukang batu mahir yang terkenal mendapat permintaan yang tinggi dan kumpulan-kumpulan pembina kastil berpindah dari satu tapak ke satu tapak lain. Kota-kota yang ingin membina katedral terpaksa bersaing mendapatkan pekerja mahir dengan pembesar yang ingin membina kastil. Pembinaan Kastil Beaumaris di Wales Utara bermula pada tahun 1295. Rekaannya adalah bersimetri, tanpa titik kelemahan. Pada kemuncak pembinaannya, ia memerlukan tenaga seramai 30 tukang besi, 400 tukang batu dan 2000 buruh kasar. Buruh kasar melakukan sebahagian besar penggalian, membawa, mengangkat, menggali telaga dan memecahkan batu. Kastil tersebut tidak pernah siap dibina. Kastil yang besar di Conway, dibina di Wales oleh Edward I dari England, mengambil masa selama 40 bulan untuk dibina. Tembok kastil merupakan kerangka pertukangan batu yang diisi dengan batu kasar dan flin bercampur dengan mortar Kelebaran tembok adalah antara 6 hingga 16 kaki.