Menawan Kastil Menawan atau mempertahankan kubu merupakan aktiviti ketenteraan yang biasa semasa lewat Zaman Pertengahan kerana pertambahan kastil dan kota berkubu serta kepentingan strategiknya. Walaupun tentera kecil dapat mempertahankan sebuah kastil, ia memerlukan satu tentera besar untuk menawan sebuah kastil. Penyerang perlu mempunyai tentera yang cukup besar untuk mengawal kawasan desa di sekitar kastil, melawan mana-mana tentera bantuan dan menyerang kubu tersebut secara langsung atau sekurang-kurangnya memastikan pengepungan diawasi ketat. Ia merupakan cadangan yang merugikan. Apabila sebuah tentera menghampiri kastil, penduduk tempatan biasanya berundur ke dalam kastil, mengambil apa-apa yang bernilai dengan mereka, terutamanya makanan dan senjata. Bagaimanapun, jika pengepungan dijangka berterusan lama, orang-orang kampung yang tidak mampu bertempur mungkin tidak dibenarkan masuk untuk menjimatkan makanan. Terdapat banyak catatan kisah tentang orang yang dibuang keluar dari bandar yang dikepung untuk menjimatkan makanan. Apabila raja Inggeris Henry V mengepung bandar Rouen, askar pertahanan mengusir orang yang lemah dan miskin untuk menjimatkan makanan. Orang Inggeris enggan membenarkan orang yang bernasib malang ini melalui barisan mereka. Lelaki tua, para wanita dan kanak-kanak meringkuk di antara bandar dan tentera Inggeris selama berbulan-bulan, meraba-raba mencari sisa-sisa dan mati kebuluran sehingga penyerahan kalah dirunding. Apabila sebuah angkatan tentera semakin hampir, penyerahan kalah dan syarat penyerahan kalah mungkin dirunding dengan segera, terutamanya jika kastil atau kota tidak cukup askar. Pihak penyerang akan mempertimbangkan peluang menyerang kubu dengan berhati-hati jika rundingan gagal. Jika serangan pantas ditangkis atau dianggap terlalu berisiko, penyerang akan menutup kastil dan memulakan pengepungan. Setelah artileri pengepungan menembak ke arah bandar, pengepungan dianggap bermula dengan rasmi. Untuk berundur tanpa alasan yang kukuh adalah mengaibkan dan tidak dapat diterima dalam kebanyakan kes. Pengepungan yang besar adalah seperti acara sosial. Pengepungan Neuss pada abad kelima belas berlangsung hanya selama beberapa bulan, tetapi penyerang membina kem yang besar termasuk tavern dan gelanggang tenis. Bangsawan yang mengambil bahagian dalam pengepungan menyelesakan diri, sering membawa sekali isteri dan keluarga. Pedagang dan tukang mahir dari bandar jiran meluru untuk membuka kedai dan memberikan khidmat. Formaliti Pengepungan Hakikat peperangan semasa zaman ini adalah bahawa kastil dan kota amat jarang dapat ditawan dengan serangan. Biasanya serangan merupakan satu tindakan yang terdesak atau dipermudah dengan tindakan pengkhianatan atau serangan senyap-senyap. Melainkan garison benar-benar kekurangan tenaga, serangan adalah terlalu merugikan nyawa. Contoh yang lebih tipikal adalah untuk mengaturkan pengepungan mengikut peraturan peperangan dan kemuliaan yang lazim dan menawan kastil dengan kerugian yang agak sedikit. Sekiranya askar pertahanan menyerah diri tanpa pertarungan ia dianggap sebagai pengkhianatan, oleh itu pengepungan diteruskan dan tembok kastil dihancurkan. Jika pemilik kastil tidak berada di dalamnya, timbalannya yang bertanggungjawab, yang digelar kastellan atau konstabel, boleh menyerahkan diri dengan kehormatan selepas beberapa hari lamanya jika tentera bantuan tidak muncul. Kastellan sering meminta kontrak yang menyatakan tanggungjawab mereka dengan khusus dan menyatakan keadaan-keadaan yang membolehkan mereka menyerah diri tanpa hukuman. Dalam keadaan yang jarang berlaku di mana penyerahan tidak boleh menjadi pilihan atau pilihan tersebut dianggap hina, lazimnya tiada belas kasihan yang ditunjukkan selepas serangan yang berjaya. Tentera biasa dan juga orang awam di dalamnya mungkin akan dibunuh dan kastil atau bandar dijarah. Kesatria yang ditawan akan dibiarkan hidup, biasanya dijadikan tebusan. Kesemua penyerang menerima bahagian daripada harta rampasan. Pengamalan dasar ini adalah satu dorongan lanjut bagi pihak pertahanan untuk merundingkan penyerahan selepas tempoh masa pengepungan yang munasabah. Raja Henry V dari England telah menawan bandar Caen selepas pengepungan yang lama pada 1417. Beliau kemudiannya membenarkan tenteranya untuk menjarah seluruh bandar dari satu hujung hingga hujung yang lain sebagai bayaran kerana penentangan pihak pertahanan yang kuat. Setiap lelaki di bandar tersebut kecuali paderi telah dibunuh. Pada hentiannya yang seterusnya, kastil Bonneville, pihak pertahanan bersetuju untuk menyerahkan kunci selepas tujuh hari tanpa bantuan, walaupun kedua belah pihak memahami bahawa tidak ada prospek untuk bantuan. Krak des Chevaliers merupakan kastil Salibi yang paling terkenal di Timur Tengah dan masih tersergam megah di Syria moden. Ia telah dipertahankan oleh Kesatria Hospitaller semasa zaman Perang Salib dan bertahan terhadap berdozen-dozen pengepungan dan serangan selama lebih daripada 130 tahun sebelum akhirnya jatuh ke tentera Arab Mesir pada tahun 1271. Kisah penawanannya adalah luar biasa tetapi tipikal dalam erti kata bahawa askar pertahanan tidak bertarung sampai mati. Orang Arab tidak gemar menyerang pintu gerbang utama Krak des Chevaliers kerana menyerbu masuk melalui sana membawa kepada beberapa siri laluan sempit yang berbahaya dan ke pintu gerbang kedua yang lebih kuat lagi. Sebaliknya mereka menyerang tembok selatan dengan menjejaskan menara besar di sudut barat daya. Ini membolehkan mereka masuk bahagian dinding tirai luar. Bagaimanapun, sebelum menyerang pusat menara utama yang lebih kuat, mereka mencuba satu helah. Seekor burung merpati diutuskan ke kastil dengan membawa mesej daripada mahaguru Hospitaller, mengarahkan garison untuk menyerah diri. Dikelilingi jumlah penyerang yang lebih ramai dan tiada harapan bantuan, para pihak pertahanan menerima arahan mesej tersebut, memahami bahawa ia palsu dan menyerahkan kastil besar tersebut dengan mulia. Terowong Masalah utama untuk menawan sebuah kastil atau bandar yang berkubu adalah mengatasi tembok-tembok yang menghalang kemasukan dan melindungi pihak pertahanan. Satu penyelesaian untuk masalah ini adalah menjejaskan satu bahagian tembok supaya ia runtuh. Ini hanya boleh dilakukan sebelum kastil dikelilingi parit atau selepas parit telah disalir keluar. Tembok tidak boleh dijejaskan jika ia dibina di atas batu yang padu. Para penggali mengorek terowong sehingga tembok dan kemudian di sepanjang asas tembok. Terowong ini disokong oleh sokongan kayu yang secara beransur-ansur menanggung beban lelangit tembok dari tanah yang digali dan dikeluarkan. Pada masa yang telah ditetapkan, kayu di dalam terowong dibakar. Apabila kayu terbakar, sokongan untuk lelangit tembok menghilang secara beransur-ansur dan bahagian tembok runtuh, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang. Tembok yang runtuh itu menghasilkan satu bukaan untuk serangan langsung oleh tentera ke dalam kastil. Membina terowong adalah memerihkan dan memakan banyak masa. Pihak pertahanan yang menyedari usaha penerowongan itu akan memperkukuh tembok yang terancam dengan tembok sekunder supaya keruntuhan tidak membuka pertahanan sepenuhnya. Pihak pertahanan juga pernah membalas usaha ini, menggali terowong mereka sendiri di bawah tembok untuk cuba memintas terowong musuh. Apabila terowong-terowong tersebut bertembung, pertempuran bawah tanah berlaku. Pengepungan Tentera yang mengepung mendirikan kedudukan di keliling kastil untuk mencegah tentera di dalam daripada melarikan diri atau menyerang. Ladang-ladang dan perkampungan berhampiran diambil alih oleh pengepung. Rondaan ditugaskan untuk memberi notis tentang mana-mana tentera bantuan yang menghampiri dan untuk mencari makanan. Para ketua penyerang memeriksa situasi dan memutuskan sama ada hanya mengepung kastil atau bersiap sedia untuk menyerang kastil secara aktif. Sekiranya kastil itu hanya perlu dipaksa menyerah sebelum kebuluran, penyerang akan menumpukan perhatian untuk memastikan pihak pertahanan terkurung di dalam dan menghalang sebarang tentera bantuan daripada menamatkan pengepungan itu. Memilih cara terbaik untuk menyerang kastil mungkin melibatkan salah satu daripada pilihan berikut: * Menjejaskan sebahagian daripada tembok. * Memilih bahagian tembok untuk dipecahkan dengan mengetuknya dengan lontaran batu (atau dengan meriam, namun ini tidak berkesan sehingga sekitar 1450, pada akhir zaman ini). * Memilih sebahagian daripada parit (dan air parit, jika ada) untuk diisi. * Membina menara pengepungan dan tangga untuk memanjat tembok. * Memilih pintu gerbang atau memecahkan bahagian lain dengan kayu pelantak. Kelajuan kerja pada persiapan serangan adalah sepadan dengan kesegeraan untuk menawan kastil, prospek penyerahan diri dan tenaga kerja yang ada. Sekiranya penyerang mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, tidak ada bantuan yang diharapkan, dan pihak pertahanan besar kemungkinan menyerah setelah kehormatan mereka dijaga, kerja-kerja persediaan serangan mungkin hanyalah suatu persembahan. Sekiranya bekalan penyerang itu berkurangan, bantuan dijangka pada bila-bila sahaja, atau para pertahanan keras kepala, persiapan mungkin berjalan terus siang dan malam. Apabila persiapan selesai, pihak pertahanan diberi peluang terakhir untuk menyerah diri sebelum serangan. Peralatan Pengepungan Peralatan pengepungan digunakan untuk menembusi tembok dan pertahanan kastil yang lain supaya kekuatan unggul tentera menyerang dapat dibawa menentang para pertahanan pada tahap kelemahan minimum. Kebanyakan peralatan direka untuk meruntuhkan atau memecahkan tembok. Selain tangga ringkas, peralatan pengepungan yang paling biasa digunakan pada Zaman Pertengahan termasuk trebuchet, mangonel, menara pengepungan, kayu pelantak dan pavis. Sebaik sahaja tembusan dibuat atau menara pengepungan terpasang, satu pasukan tentera sukarelawan mengetuai serangan tersebut. Angkatan ini dikenali sebagai "usaha yang mungkin tidak akan berjaya", kerana pengorbanan yang dijangkakan berlaku. Tetapi mereka yang berjaya terselamat daripada pasukan ini biasanya paling banyak mendapat ganjaran, gelaran dan hasil rampasan. Trebuchet merupakan tarbil besar yang dikuasakan dengan pengimbang yang berat, biasanya sekotak batu-batu besar. Lengan pelontar yang panjang ditarik ke bawah menuju jisim berat pengimbang dan batu besar dimuatkan. Apabila lengan dilepaskan, beban yang berat jatuh ke bawah, menarik lengan pelontar ke atas, dan melemparkan peluru batu besar dalam trajektori melengkung yang tinggi. Peluru yang dilontarkan oleh senjata ini menjunam ke bawah dan paling baik digunakan untuk menghancurkan puncak menara, baluarti dan dinding adang. Adalah sukar untuk merosakkan tembok menegak dengan trebuchet melainkan jika peluru jatuh tepat ke atas tembok. Trebuchet itu dipasang di luar jarak tembakan busur dan dipertahankan terhadap serangan mengejut yang mungkin dilakukan oleh askar pertahanan yang mahu membakar senjata. Trebuchet itu berguna untuk menghancurkan bumbung kayu dan kemudian menyalakan api pada runtuhan dengan peluru pembakar. Mangonel merupakan sejenis tarbil yang berbeza dikuasai oleh tali berpintal atau jalur kulit. Gear sehala memutarkan tali, membina tegangan. Apabila dilepaskan, tali berputar, melemparkan lengan pelontar ke hadapan. Apabila lengan terkena bar penahan berat, sebarang peluru dalam bakul di hujung lengan dilontarkan ke hadapan. Bar penahan boleh dilaraskan untuk menukar trajektori peluru. Mangonel mempunyai trajektori yang rata, jika dibandingkan dengan trebuchet, tetapi dapat menjanakan kuasa yang sama. Sebilangan besar tembakan mangonel mungkin diperlukan untuk melakukan apa-apa kerosakan yang ketara kepada tembok. Bagaimanapun, peluru yang dilontarkan dan serpihan dari tembok yang pecah tiu akan membantu mengisi parit, mewujudkan longgokan runtuhan yang boleh dipanjat oleh penyerang. Menara pengepungan digerakkan berhampiran dengan tembok dan kemudian sebuah titi sambung dijatuhkan dari menara ke puncak tembok. Askar-askar di dalam menara kemudian boleh mara melintasi titi sambung dan melawan askar pertahanan dalam pertempuran senjata tangan. Menara seperti itu adalah sangat besar. Ia terpaksa dilindungi dengan kulit basah untuk mengelakkannya daripada dibakar. Amat sukar untuk mengalihkannya kerana beratnya. Ia perlu sama ada ditolak ke hadapan atau ditarik ke hadapan terhadap kapi yang sebelum ini dipasang pada pancang berhampiran dengan bahagian dasar tembok kastil. Tanah harus dipersiapkan terlebih dahulu, biasanya dengan jalan berpapan kayu datar di tanah yang dipadatkan untuk memudahkan pergerakan menara. Kawasan pertempuran di atas menara membolehkan pemanah menembak ke dalam kastil apabila menara itu menghampiri. Askar-askar menaiki tangga di dalam menara sebaik sahaja ia berhampiran. Serangan dari menara pengepungan tidak pernah mengejutkan askar pertahanan kerana begitu banyak persiapan dilakukan. Askar pertahanan mengambil langkah untuk membina bahagian tembok yang terancam atau menghalang titi sambung daripada jatuh. Mereka cuba untuk bergelut dengan menara ketika ia menghampiri dan menarik menara itu ke sisi. Sehingga detik terakhir serangan itu, enjin pengepungan akan menyerang bahagian tembok yang disasarkan untuk mengganggu persediaan pertahanan untuk menerima serangan tersebut. Sekiranya kumpulan penyerang pertama dari menara itu dapat menyeberang, berduyun-duyun askar akan menyusuli titi sambung untuk melengkapkan penawanan kastil. Kayu pelantak mempunyai tiang besar dengan kepala besi yang disangkut di dalam perumah yang bergerak dan dilancarkan ke bahagian tembok atau pintu gerbang. Setelah sampai ke tembok, tiang itu diayunkan ke tembok. Kekuatan pukulan memecahkan papan kayu pintu atau tembok batu, mewujudkan bukaan untuk serangan. Bumbung kayu pelantak itu ditutup dengan kulit basah untuk mencegah pembakaran. Mengendalikan kayu pelantak adalah tugas yang berbahaya. Musuh dari atas menjatuhkan batu-batu besar, air mendidih atau lemak terbakar ke kayu pelantak, cuba memusnahkannya atau membunuh askar yang mengendalikannya. Walaupun pintu gerbang atau jambatan angkat dihancurkan, biasanya terdapat beberapa portkulis dan ruang gerbang yang perlu diserang. Pada pengepungan Tyre semasa musim luruh 1111-1112, orang Arab yang menjadi pihak pertahanan telah memikirkan satu taktik pertahanan yang bijak terhadap kayu pelantak. Mereka melontar turun pencangkuk, menyangkut kayu pelantak dan menariknya dari tembok. Berkali-kali mereka dapat mengganggu penggunaan kayu pelantak itu. Pemanah dan pemanah busur silang yang menyerang bersembunyi di atas tanah di belakang perisai kayu besar yang dipanggil pavis. Satu celah tembakan yang sempit di bahagian atas pavise membolehkan askar di belakang untuk menembak ke arah pertahanan. Raja England iaitu Richard I Si Hati Singa, menerima kecederaan bahu yang boleh membawa maut daripada panah busur silang semasa melihat-lihat di sebelah pavise.