Orang Cuman Orang Cuman ialah puak nomad Turki yang asalnya boleh dikesan dari timur Sungai Kuning. Setelah diusir keluar dari tanah asal mereka oleh puak Khitan yang berperang, mereka berhijrah ke arah barat pada abad kesepuluh. Orang Cuman akhirnya tiba di kawasan steppe Kazakh, kemudian mereka bersekutu dengan puak Turki lain iaitu orang Kipchak. Dua kumpulan tersebut dengan pantas bergabung menjadi satu dan mereka bersama-sama menguasai kawasan luas yang terletak di antara Bulgaria dan Kazakhstan masa kini pada abad kedua belas dan ketiga belas. Berbanding empayar yang mempunyai kerajaan pusat yang kuat, gabungan Cuman-Kipchak ialah satu kesatuan longgar puak bebas yang menggunakan kuasa berdasarkan tali persaudaraan dan kekuatan ketenteraan. Kekuatan ketenteraan tersebut terdiri terutamanya daripada pasukan pemanah berkuda ringan dan pasukan tombak berperisai berat, tetapi mangonel dan balista juga sering digunakan. Orang Cuman melancarkan beberapa kempen terhadap Kievan Rusia, kawasan Balkan dan Empayar Khoarezmiyah. Paling terkenal sekali, ketua suku iaitu Boniak (r.c. 1091-1107) membantu maharaja Byzantine dalam menangkis serangan Pecheneg di Levounion, menyerang beberapa biara berhampiran Kiev dan menewaskan raja Hungary iaitu raja Coloman, semuanya dalam beberapa tahun. Walau bagaimanapun, orang Cuman juga banyak menggunakan taktik diplomasi, seperti perkahwinan dan khidmat ketenteraan, untuk meluaskan pengaruh mereka di negeri sekeliling. Sebagai contoh, ketua suku yang bernama Seyhan telah mengahwinkan anak perempuannya iaitu Elizabeth dengan raja Hungary iaitu Stephen V. Di Bulgaria, bantuan daripada pasukan berkuda Cuman sangat penting dalam kejayaan pemberontakan terhadap orang Byzantine pada tahun 1185. Oleh itu, sesetengah ketua Cuman diangkat menjadi bangsawan apabila Empayar Bulgaria Kedua (1186-1396) ditubuhkan. Walaupun orang Cuman menyerap unsur daripada pelbagai tamadun yang mereka hadapi, budaya Cuman-Kipchak kekal patuh kepada gaya kehidupan nomad buat masa yang lama. Ekonomi mereka berasaskan penternakan haiwan dan perdagangan. Hanya kelompok minoriti yang terlibat dalam aktiviti tempat tinggal separa tetap seperti pertukangan besi atau pembuatan barangan kulit. Struktur masyarakat dibina berdasarkan keluarga. Bersama dengan keluarga bersaudara, mereka menetap dan berpindah sebagai satu suku. Orang Cuman memuja roh nenek moyang mereka melalui patung batu atau kayu antropomorfik, dikenali sebagai Balbal. Sebagai pengamal kepawangan, mereka juga percaya dengan roh haiwan. Anjing dan serigala terutamanya dianggap sebagai suci. Misalnya, ketua suku bernama Boniak menentukan bahawa keadaan sesuai untuk berlawan dengan raja Hungary melalui menyalak bersama serigala pada malam sebelum pertempuran. Pada awal abad ketiga belas, askar Mongolia dan Tatar menawan gabungan Cuman-Kipchak. Khan Kotyan cuba untuk mengerahkan pertahanan dengan bersekutu bersama Rus, tetapi mengalami kekalahan besar di Sungai Kalka pada tahun 1223. Kebanyakan orang Cuman kemudiannya lari ke negeri jiran, dan perlahan-lahan mereka diserap sebagai penduduk tempatan. Namun, terdapat juga yang ditangkap dan dijual sebagai hamba. Sultan Mesir, al-Sahil Ayyubi (r. 1240-1249), membeli ramai orang Cuman-Kipchak dan menjadikan mereka Mamluk, iaitu pahlawan hamba yang sangat terlatih. Menjelang tahun 1250, golongan Mamluk telah menggunakan kekuatan ketenteraan mereka untuk merampas kuasa di Mesir, yang menubuhkan Kesultanan Mamluk (1250-1517). Selama lebih satu abad, sultan bagi empayar berkuasa ini adalah berketurunan Cuman-Kipchak.