Penggiatan Semula Ekonomi Pada permulaan Zaman Kelam, Eropah Utara berhutan tebal. Menjelang tahun 1000 Masihi, sejumlah besar hutan telah ditebang dan kawasan hutan selebihnya semakin merosot, digantikan dengan tanah ladang dan padang rumput ternak. Secara umumnya tanah ini amat subur, iaitu tanah loes yang terdiri daripada mendapan batu halus semasa Zaman Ais yang lalu. Dua ciptaan utama telah meningkatkan pembasmian hutan Eropah dengan pesat dan membawa kepada peningkatan pengeluaran makanan. Ciptaan pertama ialah kolar kuda yang berasal daripada China dan secara perlahan-lahan tersebar ke barat. Kolar yang lebih baik ini dapat dipakai merentas dada kuda, bukannya salur udara, lalu membolehkan kuda tersebut menarik beban yang jauh lebih berat tanpa tercekik. Ciptaan kedua ialah bajak beroda berat yang diperlukan untuk mengorek tanah yang dalam dan sistem akar besar di kawasan hutan tua. Peningkatan pengeluaran makanan secara dramatik merupakan asas pertumbuhan penduduk dan penggiatan semula ekonomi Eropah. Penduduk yang semakin bertambah dan tidak lagi diperlukan di rumah besar, telah berhijrah ke bandar yang sedang membangun sebagai tindak balas permintaan pasaran lebih luas. Lebihan makanan dan produk dalam industri baharu (sebagai contoh, pembuatan kain, pembinaan kapal dan pembuatan alatan) didagangkan dalam pasaran baru dan pesta perdagangan. Raja menggalakkan pertumbuhan bandar kerana penduduk biasanya bersekutu dengan kuasa pusat berbanding dengan tuan tanah feudal tempatan. Rakyat bandar membayar cukai dan bukan khidmat feudal. Di kawasan bandar telah muncul satu golongan kelas pertengahan baharu yang menyara diri dengan perdagangan, pembuatan industri dan peminjaman wang. Pedagang mula menguasai kerajaan bandar, menjadi semakin kaya dan berkuasa. Petukang dan pedagang mengaturkan golongan mereka dalam gabungan yang dikenali sebagai persatuan. Persatuan-persatuan ini mengawal harga dan pengeluaran, memastikan tahap tinggi perkhidmatan atau pembuatan, dan mengaturkan latihan ketukangan melalui perantisan. Kawalan ini memastikan produk berkualiti tinggi dan kualiti hidup yang tinggi bagi ahli persatuan. Ahli persatuan sering tertumpu pada satu kawasan bandar, seperti Jalan Threadneedle dan Lorong Ironmongers di London. Persatuan membentuk blok kuasa yang penting dalam struktur politik bandar. Peningkatan perdagangan membawa kepada pertumbuhan pengilangan. Kedua-duanya membawa kepada kebangkitan perbankan yang kebanyakannya berpusat di utara Itali pada abad ketiga belas. Perniagaan baharu memerlukan wang untuk memulakan perniagaan dan untuk berfungsi dengan sebaiknya. Wang berguna sebagai alat pertukaran yang piawai nilai dan diperlukan untuk beralih daripada ekonomi barter yang tidak cekap. Itali mempunyai lebihan tunai daripada perdagangan kawasan Mediterranean yang menguntungkan, terutama sekali dengan Levant. Florin emas daripada Florence menjadi syiling paling terkenal pada akhir Zaman Pertengahan.