Orang Frank Orang Frank ialah salah satu puak gasar Jerman yang diketahui oleh orang Rom. Pada awal abad kelima, mereka mula meluaskan kuasa ke arah selatan dari tanah air mereka, sepanjang Sungai Rhine ke Gaul yang dikuasai Rom (Perancis moden). Walau bagaimanapun, bukan seperti puak Jerman lain, mereka tidak berpindah dari tanah air mereka dan sebaliknya telah meluaskan wilayah tanah air mereka. Clovis, seorang ketua puak Frank, telah menewaskan tentera Rom terakhir di Gaul dan menyatukan orang Frank pada tahun 509, menjadi pemerintah di sebahagian besar Eropah barat. Sepanjang 1000 tahun seterusnya, kerajaan Frank ini secara beransur-ansur menjadi negara moden Perancis. Selepas kematiannya, kerajaan Clovis telah dibahagikan antara empat anaknya, mengikut adat. Ini membawa kepada beberapa abad yang menyaksikan perang saudara dan perebutan antara penuntut takhta yang berturut-turut. Menjelang akhir abad ketujuh, raja Merovingian (keturunan Clovis) hanya pemerintah dari segi gelaran. Pada awal abad kelapan, Charles Martel menjadi majordomo, iaitu pemerintah di sebalik takhta. Dia mengubah orang Frank menjadi kuasa tentera berkuda dan bertempur dengan sangat mahir sehingga musuhnya memberinya nama Charles Si Tukul. Pada tahun 732, tentera berkuda Frank telah menewaskan penyerang muslim yang mara ke utara dari Sepanyol di Pertempuran Poitiers, menghentikan kemaraan Islam dari barat daya buat selama-lamanya. Anak lelaki Charles Martel, Pepin, telah dijadikan raja orang Frank oleh paus sebagai ganjaran kerana membantu mempertahankan Itali daripada orang Lombard. Pepin mengasaskan dinasti Carolingian, dan pemerintah yang paling hebat bagi dinasti ini ialah Charles yang Agung, atau Charlemagne, yang memerintah dari tahun 768 hingga 814. Baginda meluaskan kerajaan Frank menjadi sebuah empayar dan bertanggungjawab atas kelahiran semula budaya dan pembelajaran di Barat. Empayar Charlemagne dibahagikan antara cucunya dan kemudian bersatu menjadi dua bahagian utama. Bahagian barat menjadi kerajaan Perancis. Walau bagaimanapun, raja-raja selepas itu beransur-ansur kehilangan kawalan politik Perancis. Kuasa berpusat telah merosot di bawah tekanan perang saudara, pertempuran sempadan dan serangan Viking. Wang dan askar boleh diraih hanya dengan membuat konsesi kepada pemilik tanah. Tanah feudal menjadi harta yang diwarisi dan pemegang tanah feudal menjadi tuan feudal bagi abdi mereka sendiri. Menjelang abad kesepuluh, Perancis telah berpecah menjadi beberapa domain feudal yang bertindak sebagai negeri yang bebas. Pada tahun 987, golongan bangsawan Perancis melantik Hugh Capet sebagai raja mereka, kerana tanah feudalnya yang berpusat di Paris adalah lemah dan baginda dianggap tidak menimbulkan ancaman. Baginda mengasaskan jurai keturunan raja Capet, yang berusaha perlahan-lahan selama dua abad mendapatkan kuasa dengan menjadikan jalan diraja selamat, menambah tanah ke domain mereka, menggalakkan perdagangan dan memberikan piagam diraja untuk kota dan tanah feudal baru di kawasan yang kosong. Dengan bersekutu dengan gereja, kerajaan Capet memperoleh kedudukan moral yang kuat dan mendapat manfaat daripada pengaruh budaya, politik dan sosial gereja. Pentadbir diraja dijadikan setia kepada raja dan lebih cekap dengan menghapuskan perwarisan jawatan kerajaan. Bermula dengan Philip II pada tahun 1180, tiga pemerintah unggul menjadikan Perancis sebagai salah satu negara yang paling penting di Eropah. Mereka memperbaik cara kerajaan berfungsi, menggalakkan perdagangan yang berkembang pesat, memungut bayaran dengan cekap dan mengukuhkan kedudukan mereka di atas hierarki feudal. Walaupun perhimpunan kebangsaan yang dipanggil Dewan Rakyat ditubuhkan, ia tidak mempunyai kuasa sebenar dan berjaya diabaikan. Dari tahun 1337 hingga 1453 Perancis dan England berperang dengan konflik panjang yang dikenali sebagai Perang Seratus Tahun untuk memutuskan pemilikan tanah di Perancis yang telah diwarisi oleh raja-raja Inggeris. Kemenangan Perancis akhirnya mengesahkan raja sebagai kuasa politik paling kuat di Perancis.