Orang Goth Orang Goth merupakan puak Jerman di sempadan Sungai Danube yang diketahui orang Rom daripada abad pertama Masihi. Tertekan dan kemudian terpaksa berpindah apabila orang Hun mara ke barat dari Asia Tengah, orang Goth berhijrah ke barat dan memasuki Eropah serta menyeberangi Sungai Danube untuk lari daripada gerombolan yang semakin hampir. Selepas menyumbang kepada kejatuhan Rom, mereka bersaing dengan orang gasar lain untuk merebut sisa peninggalan Empayar Rom Barat semasa Zaman Pertengahan Awal. Orang Goth berasal dari pulau Gotland di Laut Baltic, sepanjang pengetahuan kita, dan terbahagi kepada dua kumpulan semasa mereka berhijrah ke selatan menyeberangi Eropah Tengah. Orang Visigoth, atau orang Goth Barat, menetap di Romania moden pada abad kedua. Orang Ostrogoth, atau orang Goth Timur, menetap lebih jauh ke timur di pantai barat laut bagi Laut Hitam. Pada 376 Masihi, orang Visigoth diusir dari Romania moden oleh orang Hun dan berpindah ke selatan melintasi Sungai Danube. Kekuatan mereka dianggarkan seramai 60,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak. Mereka telah menewaskan tentera Rom daripada Constantinople, menetap buat sementara di selatan dari Sungai Danube, dan kemudian mara ke Itali. Pada tahun 409, mereka menjarah Rom di bawah pemerintahan raja Alaric dan kemudian mara ke utara, memasuki Gaul. Orang Rom memberi mereka wilayah barat daya Gaul. Dari situ mereka akhirnya meluaskan kuasa pemerintahan mereka ke seluruh kawasan Sepanyol dan Portugal moden. Orang Ostrogoth melarikan diri daripada pemerintahan Hun dan mengikuti puak sepupu mereka ke Itali pada akhir abad kelima. Mereka digalakkan untuk menyerang oleh maharaja Timur yang mahu menggulingkan orang gasar yang sedang memerintah sebagai wizurai. Di bawah pemerintahan Theodric, yang telah menjadi raja kawasan Switzerland dan Balkan moden, orang Goth memasuki Itali pada tahun 488, melengkapkan penaklukannya pada tahun 493. Kerajaan Theodric tidak bertahan lama berikutan kematiannya pada tahun 526. Menggunakan perebutan takhta sebagai alasan, orang Byzantine menghantar tentera ke Itali pada tahun 536 yang diketuai ketua jeneral mereka, Belisarius. Orang Byzantine berharap untuk mendapatkan Itali semula dan memulihkan semula Empayar Rom lama di Barat. Perang tersebut berterusan, membinasakan kawasan luar bandar bersama dengan wabak dan kebuluran. Pada tahun 552, orang Ostrogoth akhirnya ditewaskan di Itali. Mereka tidak lagi wujud sebagai kumpulan berasingan menjelang akhir abad keenam apabila Itali utara diserang oleh kumpulan orang gasar baharu yang dikenali sebagai orang Lombard. Kerajaan Visigoth bertahan lebih lama jika dibandingkan. Pada akhir abad kelima, Clovis iaitu raja Frank mengusir orang Visigoth keluar dari Perancis dan menyeberang Pergunungan Pyrenees. Berikutan kematian Clovis, kerajaannya berpecah dan orang Visigoth dibiarkan sendiri buat sementara. Pada tahun 711, ancaman baru muncul dari selatan. Tentera Islam menyeberang dari Afrika Utara dan memusnahkan kerajaan Goth terakhir dalam tempoh empat tahun. Orang Goth diingati sebagai pihak pertama yang menjarah Rom dan oleh itu memulakan kejatuhan terakhir pemerintahan dunia purba di Eropah. Namun, kekaguman mereka terhadap Rom dan cubaan pemeliharaan telah memastikan sebahagian besar budaya Rom masih bertahan. Sebagai contoh, bahasa moden Itali, Perancis, Sepanyol, Portugal dan Romania berasal daripada bahasa Latin yang dipengaruhi oleh penetap seterusnya. Ia bukan variasi Jerman, seperti kes di England.