Kemunculan Serbuk Letupan Orang China telah mencipta serbuk letupan menjelang abad kesebelas dan ia digunakan dalam bidang ketenteraan untuk melancarkan roket. Namun, ini merupakan senjata untuk menakutkan musuh dan bukannya senjata misil yang berguna. Orang China juga melakukan eksperimen dengan bunga api. Mereka tidak menyedari potensi serbuk letupan sebagai bahan letupan atau bahan dorong untuk senjata misil. Serbuk letupan secara beransur-ansur tersebar ke barat dan orang Eropah menemui kegunaan serbuk letupan yang lebih membinasakan. Karya seni tertua dan masih wujud daripada Eropah yang menggambarkan senjata serbuk letupan muncul pada tahun 1326. Meriam primitif ini diisi dengan sejenis lembing, bukan peluru meriam. Orang Eropah telah bereksperimen dengan serbuk letupan sejak setengah abad sebelumnya. Penerangan formula serbuk letupan tertua yang masih selamat telah muncul pada tahun 1260 dan dianggap ditulis oleh paderi Inggeris bernama Roger Bacon. Menjelang tahun 1340 peluru meriam yang diperbuat daripada plumbum, besi dan batu telah digunakan. Orang Inggeris menggunakan meriam di medan pertempuran di Crécy pada tahun 1346, tetapi kebergunaan meriam itu tidak disebut dalam laporan pertempuran itu. Meriam Pengujikajian selama beberapa abad telah dijalankan sebelum senjata serbuk letupan menjadi benar-benar berguna. Satu kesukaran yang dihadapi adalah menghasilkan serbuk letupan yang dapat menyala dengan pantas, seragam dan berkuasa. Di samping itu, mereka bentuk meriam sesuai yang tidak akan pecah. Teknik pembuatan yang tidak baik sering menjejaskan meriam peringkat awal, dan menembak meriam ini adalah hampir sama bahaya dengan menjadi sasaran meriam itu. Sebagai contoh, raja Scotland iaitu Raja James II terbunuh akibat meriam yang meletup pada tahun 1460. Teknologi meriam dan serbuk letupan cukup maju menjelang pertengahan abad kelima belas sehingga ia diiktiraf sebagai senjata yang penting. Ini jelas pada tahun 1453 apabila meriam bedilan pengepungan besar yang menembak peluru meriam batu yang besar menghentam tembok Constantinople. Walaupun sebab langsung kejatuhan Constantinople adalah kerana pintu gerbang kecil yang dibiarkan terbuka, serangan bedilan itu lambat-laun dapat membolehkan pelancaran serangan langsung. Meriam pada Zaman Pertengahan digunakan dalam pengepungan untuk membedil tembok dan digunakan dalam medan perang untuk menembak ke arah kelompok barisan askar musuh. Kebolehan meriam untuk menghancurkan tembok tegak yang curam telah membawa kepada penambahbaikan dalam pembinaan kastil. Tembok bercerun rendah telah menggantikan tembok tegak yang tinggi. Kegunaan meriam di medan perang terhad pada zaman itu kerana meriam sangat berat. Susah untuk menggerakkan meriam ke kedudukan baharu semasa bertempur. Pistol Ilustrasi pelbagai jenis pistol muncul sekitar tahun 1350. Ini merupakan senjata primitf yang terdiri daripada tiub berongga yang ditutup pada satu hujung dan berdekatan dengan hujung tertutup itu satu lubang sisi untuk menyalakan serbuk. Tali penyala (tali yang terbakar dengan perlahan) diletakkan dalam lubang untuk menyalakan serbuk dan menembak peluru yang telah dimasukkan ke dalam laras terlebih dahulu. Cubaan menyasarkan pistol awal ini semasa menembak tidak begitu berguna. Ia hanya berkesan apabila ditembak secara serentak oleh ramai askar ke arah kelompok sasaran yang besar. Menjelang tahun 1450, pistol digunakan oleh kebanyakan tentera Eropah yang maju. Walau bagaimanapun, busur dan busur silang masih digunakan sebagai senjata misil infantri sepanjang abad keenam belas kerana ia masih murah dan berkesan.