Orang Jepun Dengan titik terdekat yang sejauh 100 batu dari tanah besar Asia, Jepun merupakan tanah misteri yang terletak di pinggir dunia bertamadun. Terpencil kerana kedudukan geografi pada mulanya dan kemudian atas pilihan sendiri, orang Jepun telah membangunkan budaya tersendiri yang tidak banyak terpengaruh daripada dunia luar. Pada permulaan Zaman Pertengahan di Eropah, budaya maju Jepun berpusat di hujung utara Laut Pedalaman pulau besar Honshu. Di seberang Gunung Hakone di timur terletaknya Kanto, sebuah dataran aluvium yang merupakan kawasan penanaman padi terbesar di pulau tersebut. Di utara dan selatan Kanto ialah kawasan sempadan, di seberang sana tinggalnya orang asli Jepun yang telah menduduki kepulauan ini sejak zaman Neolitik. Ada yang percaya bahawa menjelang abad kelima Masihi, istana Yamato telah menjadi pemerintah dari segi nama sahaja. Puak bebas yang dikenali sebagai uji memegang kuasa sebenar di sebalik takhta. Para ketua puak membentuk sejenis golongan aristokrat dan bersaing antara satu sama lain untuk memperoleh kuasa hakiki terhadap tanah dan takhta. Pada tahun 536, puak Soga menjadi paling berpengaruh dan melahirkan negarawan bersejarah pertama, iaitu Putera Shotoku, dan beliau telah melakukan pembaharuan yang menjadi asas budaya Jepun buat generasi-generasi seterusnya. Pada tahun 645, kuasa berpindah daripada puak Soga kepada puak Fujiwara. Puak Fujiwara berkuasa selama hampir keseluruhan zaman Heian (794 hingga 1185). Kepimpinan baru menguatkuasakan Reformasi Taika pada tahun 645 yang merupakan cubaan untuk mengagihkan semula tanah penanaman padi, mengenakan cukai kepada pengeluaran pertanian dan membahagikan negara tersebut kepada beberapa wilayah. Walau bagaimanapun, sebahagian besar negara tersebut masih berada di luar pengaruh dan kuasa diraja. Kuasa sebenar berpindah kepada keluarga-keluarga besar yang bangkit sehingga menjadi penting di wilayah penanaman padi. Konflik antara keluarga-keluarga ini membawa kepada perang saudara dan kebangkitan golongan pahlawan. Serupa seperti perkembangan di Eropah barat pada zaman pertengahan, kemerosotan kuasa pusat di Jepun, kebangkitan bangsawan tempatan yang berkuasa dan konflik dengan orang gasar di kawasan sempadan telah bergabung untuk mencipta satu budaya yang didominasi oleh golongan pahlawan elit. Pahlawan-pahlawan ini mula dikenali sebagai Samurai, ("mereka yang berkhidmat"), yang lebih kurang sama dengan kesatria Eropah. Kerajaan tentera menggantikan golongan bangsawan sebagai kuasa di sebalik takhta pada akhir abad kedua belas. Ketua kerajaan tentera ialah Shogun. Samurai hidup mengikut tatalaku pahlawan, sama seperti tatalaku kesateriaan Eropah. Asas tatalaku pahlawan adalah kesetiaan kepada tuan. Pahlawan mengharapkan kepimpinan dan perlindungan. Sebagi balasan, mereka menurut perintah tuannya tanpa soal dan bersedia untuk mati bagi pihak tuannya. Samurai amat menitikberatkan keturunannya dan berusaha untuk meneruskan tradisi keluarga. Mereka berkelakuan baik untuk mendapatkan pujian. Mereka perlu tegas dan tidak boleh menunjukkan sikap penakut. Pahlawan menyertai pertempuran sambil menjangkakan dan berharap untuk mati. Tanggapan umum adalah bahawa jika pahlawan tersebut berharap untuk hidup, mereka pasti akan berlawan secara sambil lewa. Zaman Kamakura (1185 hingga 1333) dinamakan sempena wilayah Jepun yang didominasi oleh puak pemerintah baru yang memperoleh kuasa selepas perang saudara. Orang Mongol telah membuat percubaan sebanyak dua kali untuk menyerang Jepun, pada tahun 1274 dan 1281, tetapi kedua-dua cubaan ditangkis. Ribut secara kebetulan telah mengakibatkan kerugian besar kepada armada penyerang Mongol yang kedua.