Orang Khmer Walaupun orang Khmer sudah menetap di kawasan Kemboja masa kini sejak milenium kedua Sebelum Masihi, tatanegara yang lebih besar hanya muncul dari abad pertama Masihi dan seterusnya. Sepanjang sungai Mekong, kerajaan Funan (68-550) dan kerajaan Chenla (550-802) mendapat keuntungan besar daripada perdagangan dan penanaman padi. Namun, penggantinya, Empayar Khmer (802-1431) menjadi kerajaan paling berkuasa semasa Zaman Pertengahan di tanah besar Asia Tenggara. Seabad selepas perpecahan kerajaan Chenla, ketua tempatan daripada Kemboja Tenggara yang dipanggil Jayavarman II (770-834) telah menyatukan tatanegara berbeza melalui penaklukan tentera dan perkahwinan. Berikutan kejayaan ekspedisinya, Jayavarman memahkotai dirinya sebagai Dewa Raja (Deva Raja) pada tahun 802. Tindakan upacara ini, yang diinspirasikan oleh agama Hindu orang India dan tradisi tempatan, bukan sahaja menandakan kelahiran empayar Khmer, tetapi turut mengiktiraf raja Khmer sebagai jelmaan dewa Hindu iaitu Shiva atau Vishnu. Pemerintah seterusnya menggunakan kuasa ini untuk campur tangan dalam banyak aspek masyarakat Khmer: Pertama, raja mengarahkan pembinaan sistem air berskala besar. Disebabkan monsun sangat menjejaskan paras air, sistem pengairan yang lebih baik amat diperlukan untuk penanaman padi yang meluas. Pada masa yang sama, kerajaan tidak cuba untuk mengawal pengeluaran padi secara langsung. Sebaliknya, pegawai tempatan mengutip levi daripada pedagang di pasar yang terutamanya dijalankan oleh wanita. Kuil digunakan sebagai tempat simpanan dan dihubungkan dengan rangkaian jalan yang luas, memudahkan perdagangan jarak jauh. Kedua, pemerintah Khmer membiayai program pembangunan dengan meluas kerana mereka kerap memindahkan ibu kota mereka. Penempatan semula biasanya diikuti dengan pembinaan tapak kuil baru yang digunakan sebagai pusat bandar dan tempat menyembah raja. Angkor, salah satu kawasan bandar praindustri yang terbesar, terdiri daripada tujuh bandar ibu kota dan mempunyai lebih seribu kuil. Pada awal abad kedua belas, Suryavarman II (1113-1150) telah membina tapak kuil negara yang paling terkenal iaitu Angkor Wat. Kini, kuil ini masih dianggap sebagai kompleks bangunan keagamaan terbesar di dunia, membuktikan kemahiran kejuruteraan dan seni bina orang Khmer. Akhir sekali, raja memerintah tentera. Antara abad kesembilan dan keempat belas, pemerintah Khmer mengadakan kempen ketenteraan secara berterusan dan menakluk banyak kawasan Asia Tenggara. Musuh utama mereka ialah orang Siam, orang Vietnam, serta orang Cham yang menyerang Angkor pada tahun 1177 dan 1178. Orang Khmer tidak memiliki tentera tetap tetapi mereka bergantung pada kapten yang dilantik dan bertanggungjawab untuk mengerahkan petani semasa perang. Selain daripada kontinjen besar infantri petani ini, tentera mengerah gajah perang, kadang-kadang dipasang dengan balista. Orang Khmer bukan sahaja melawan tamadun lain. Disebabkan raja mengahwini beberapa orang wanita, pertikaian antara keturunan berlainan sering menyebabkan perang saudara. Contohnya, selepas Suryavarman I (1002-1049) menuntut takhta, dia telah berlawan selama lapan tahun dengan penuntut yang lain. Ketidakstabilan politik merupakan sifat yang wujud dalam masyarakat Khmer. Walau bagaimanapun, dari abad keempat belas dan seterusnya, perang saudara menjadi semakin kerap disebabkan pemerintah tidak dapat menangani masalah struktur lain: penanaman padi merosot kerana suhu yang semakin dingin, penukaran agama Hindu kepada agama Buddha Theravada melemahkan kesahan raja sebagai pemerintah dewa, dan peperangan dengan orang Siam yang menyebabkan kehilangan wilayah secara berterusan. Akhirnya, raja Ponhea Yat (1405-1463) meninggalkan Angkor pada tahun 1431, menandakan pengakhiran Empayar Khmer yang agung.