Kebangkitan Satria Menjelang zaman pemerintahan Charlemagne, pahlawan berkuda telah menjadi unit tentera elit orang Frank dan pembaharuan ini tersebar ke seluruh Eropah. Berlawan dari atas kuda adalah sangat hebat kerana askar berkuda menunggang ke medan pertempuran, bergerak pantas dan menginjak-injak musuh kelas bawahan yang berjalan kaki. Apabila pasukan berkuda bertembung dengan pasukan berkuda, serangan meluru yang pantas dan pertembungan ganas yang berlaku selepas itu adalah sangat hebat. Berlawan sambil berkuda adalah sangat berprestij kerana kos tinggi kuda, senjata dan baju zirah. Hanya individu kaya atau pengikut orang yang kaya dapat berlawan sambil berkuda. Raja pada akhir Zaman Kelam tidak banyak wang untuk membayar kontinjen besar pasukan berkuda yang mahal. Pahlawan dijadikan abdi dan diberikan tanah. Mereka dikehendaki menggunakan keuntungan mereka daripada tanah untuk membiayai kuda dan peralatan. Dalam kebanyakan kes, abdi juga menyara beberapa kumpulan askar professional. Apabila kuasa pusat lemah dan komunikasi tidak baik, abdi yang dibantu oleh pengikutnya bertanggungjawab terhadap undang-undang dan ketenteraman di kawasan pegangannya. Sebagai balasan untuk tanah pegangannya, abdi tersebut bersetuju untuk menyediakan khidmat ketenteraan kepada tuannya. Dengan cara ini, pembesar tinggi dan raja-raja mampu mengerahkan tentera apabila diperlukan. Golongan elit bagi tentera ini ialah abdi berkuda. Apabila Zaman Pertengahan semakin berkembang, pahlawan berkuda elit Eropah barat mula dikenali sebagai satria. Satu tatalaku telah terhasil, dikenali sebagai kesateriaan, yang membimbing kelakuan diri mereka. Mereka sungguh tertumpu dengan kehormatan, baik dalam peperangan dan masa damai, terutamanya ketika berurusan dengan golongan setaraf mereka, bukan dengan orang biasa dan petani yang merupakan sebahagian besar penduduk. Satria menjadi golongan pemerintah, mengawal tanah yang menjadi punca semua kekayaan. Golongan aristokrat menjadi bangsawan pada asalnya kerana status dan darjat mereka sebagai pahlawan tertinggi di dunia yang ganas. Kemudian status dan darjat mereka berdasarkan terutamanya pada keturunan, dan kepentingan menjadi pahlawan semakin merosot. Kesateriaan Semasa digunakan buat kali pertama, istilah "kesateriaan" bermakna penunggang kuda. Pahlawan elit Zaman Pertengahan membezakan diri mereka daripada petani dan golongan paderi dan antara satu sama lain dengan kemahiran mereka sebagai penunggang kuda dan pahlawan. Kuda yang pantas dan kuat, senjata yang cantik dan efisien, serta baju zirah yang berkualiti tinggi adalah simbol status zaman itu. Menjelang abad kedua belas, kesateriaan telah membawa makna keseluruhan cara hidup. Peraturan asas tatalaku kesateriaan adalah seperti berikut: * Lindungi wanita dan orang yang lemah. * Perjuangkan keadilan menentang ketidakadilan dan kejahatan. * Sayangi tanah air. * Pertahankan Gereja, walaupun bergadai nyawa. Dalam amalan sebenar, satria dan golongan aristokrat tidak menghiraukan kod kesateriaan jika perlu. Persengketaan antara bangsawan dan perebutan tanah mendahului sebarang tatalaku. Adat puak Jerman yang menghendaki harta seorang ketua puak dibahagikan antara anak-anaknya dan bukan diberikan kepada anak sulung, sering mencetuskan peperangan antara adik-beradik untuk merebut harta tersebut. Salah satu contohnya adalah konflik antara cucu-cucu Charlemagne. Zaman Pertengahan sering dilanda perang saudara dan pihak yang rugi seringkali ialah para petani. Pada akhir Zaman Pertengahan, raja mencipta golongan kesateriaan, iaitu pertubuhan eksklusif satria berpangkat tinggi yang bersumpah taat setia kepada raja dan antara satu sama lain. Menjadi ahli golongan kesateriaan adalah sangat berprestij, menandakan askar tersebut sebagai salah seorang yang paling penting dalam negeri. Pada tahun 1347 semasa Perang Seratus Tahun, Edward III dari England mengasaskan Golongan Garter yang masih wujud hingga kini. Golongan ini mengandungi 25 satria berpangkat tertinggi dari England dan telah diasaskan untuk memastikan kesetiaan mereka terhadap raja dan berdedikasi terhadap kemenangan dalam peperangan. Golongan Bulu Emas telah diasaskan oleh Philip yang Baik dari Burgundy pada tahun 1430 dan menjadi golongan yang terkaya dan paling berkuasa di Eropah. Louis XI dari Perancis menubuhkan Golongan St. Michael untuk mengawal bangsawannya yang paling penting. Golongan Calatrava, Santiago dan Alcantara ditubuhkan untuk mengusir orang Moor keluar dari Sepanyol. Mereka bersatu di bawah Ferdinand dari Aragon, dan perkahwinannya dengan Isabella dari Castile membina asas untuk sebuah kerajaan Sepanyol tunggal. Beliau akhirnya menjadi mahaguru bagi tiga golongan, walaupun ketiga-tiganya masih kekal berasingan. Menjadi seorang Satria Pada umur 7 atau 8 tahun, anak lelaki daripada golongan bangsawan dihantar untuk tinggal bersama pembesar sebagai seorang budak kundang. Budak kundang belajar kemahiran asas sosial daripada wanita isi rumah pembesar tersebut dan memulakan latihan asas menggunakan senjata dan menunggang kuda. Di sekitar umur 14 tahun, anak muda itu menjadi pengiring, iaitu seorang pelatih satria. Pengiring diperuntukkan kepada seorang satria yang akan meneruskan pendidikan si pemuda itu. Pengiring merupakan teman umum dan pembantu satria. Tugas pengiring termasuk menggilap baju zirah dan senjata (mudah berkarat), membantu satria berpakaian dan menanggalkan pakaian, menjaga barangan mereka, malah tidur melintang di hadapan pintu sebagai pengawal. Di pertandingan dan pertempuran, pengiring membantu satrianya apabila diperlukan. Dia membawa senjata dan kuda ganti, merawat luka, membawa satria tercedera keluar dari bahaya, atau memastikan pengebumian yang sesuai jika perlu. Dalam kebanyakan kes, pengiring pergi berperang bersama satria dan berlawan di sampingnya. Seorang satria mengelakkan daripada melawan pengiring musuh, dan jika boleh, mencari satria berpangkat sama atau lebih tinggi daripadanya. Manakala pengiring pula berusaha untuk melawan satria musuh, dan cuba mendapatkan kemuliaan dengan membunuh atau menawan satria musuh yang berpangkat tinggi. Di samping latihan ketenteraan, pengiring membina kekuatan mereka melalui permainan, belajar untuk sekurang-kurangnya membaca jika tidak dapat menulis, dan belajar muzik, menari dan menyanyi. Menjelang umur 21 tahun, seorang pengiring layak untuk menjadi seorang satria. Calon yang sesuai "dikurnia darjah satria" oleh pembesar atau satria lain yang berkedudukan tinggi. Pada mulanya, upacara untuk menjadi satria adalah mudah, biasanya "dikurnia" pada bahu dengan pedang dan kemudian memakai tali pedang. Upacara menjadi semakin rumit dan Gereja ditambahkan kepada upacara tersebut. Calon dimandikan, rambut mereka dipotong dan berjaga sepanjang malam sambil berdoa. Pada waktu pagi, calon menerima pedang dan pacu satria. Pangkat satria biasanya hanya boleh dicapai oleh mereka yang memiliki tanah atau pendapatan yang diperlukan untuk memenuhi tanggungjawab pangkat tersebut. Walau bagaimanapun, pembesar dan biskop penting mampu menyara kontinjen satria yang besar dan ramai yang mendapatkan pekerjaan menerusi situasi ini. Pengiring yang bertempur dengan amat baik mungkin mendapat pengiktirafan seorang pembesar semasa pertempuran dan menjadi satria di medan perang. Pertandingan Pertarungan olok-olok antara satria yang dipanggil pertandingan telah bermula pada abad kesepuluh dan segera dikutuk oleh Majlis LetrĂ¡n yang kedua, di bawah Pope Innocentius II, dan raja-raja Eropah yang membantah kerana kecederaan dan kematian satria dalam sesuatu yang mereka anggap sebagai aktiviti remeh. Walau bagaimanapun, pertandingan ini berkembang dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang satria. Pertandingan bermula sebagai persaingan mudah antara satria individu tetapi bertambah rumit sepanjang perkembangan abad. Ia menjadi acara sosial penting yang dapat menarik penaung dan peserta dari tempat yang jauh. Gelanggang khas (kawasan pertandingan) dibina dengan tempat duduk untuk penonton dan astaka untuk askar tempur. Satria bertanding secara individu dan juga secara berkumpulan. Mereka berlawan antara satu sama lain menggunakan pelbagai jenis senjata dan mengadakan tempur olok-olok dengan ramai satria. Perlawanan tombak, yang melibatkan pertarungan dua orang satria yang meluru dengan tombak, menjadi acara utama. Satria bertanding seperti atlet zaman moden untuk memperoleh hadiah, darjat dan perhatian daripada wanita yang memenuhi tempat duduk. Terlalu ramai askar terbunuh dalam pertandingan menjelang abad ketiga belas, sehingga pemimpin termasuklah paus mula cemas. Contohnya, enam puluh satria mati dalam pertandingan yang diadakan di Cologne pada 1240. Paus mahukan seramai mungkin satria untuk berlawan dalam Perang Salib di Tanah Suci, bukannya mati terbunuh dalam pertandingan. Senjata ditumpulkan dan peraturan ditetapkan untuk mengurangkan kejadian kecederaan, tetapi kecederaan serius dan kematian berlaku. Contohnya, Henry II dari Perancis mendapat kecederaan yang membawa maut dalam perlawanan tombak di pertandingan yang diadakan untuk meraikan majlis perkahwinan anaknya. Cabaran biasanya dikeluarkan untuk persaingan persahabatan, tetapi dendam antara dua musuh mungkin diselesaikan dalam pertarungan hingga membawa kematian. Peserta yang kalah dalam pertandingan ditangkap dan membayar wang tebusan kepada pemenang dalam bentuk kuda, senjata dan baju zirah untuk mendapatkan pembebasan mereka. Bentara mengikuti perkembangan rekod perlawanan, seperti senarai skor besbol moden. Satria berpangkat rendah dapat mengumpulkan kekayaan melalui hadiah dan menarik perhatian seorang isteri yang kaya. Golongan Ketenteraan Semasa Perang Salib, golongan kesateriaan tentera telah dicipta untuk menyokong matlamat perjuangan orang Kristian. Mereka menjadi Salibi yang paling digeruni dan menjadi musuh yang paling dibenci orang Arab. Golongan ini diteruskan selepas Perang Salib di Palestine berakhir dalam kegagalan. Golongan yang pertama ialah Satria Kuil atau Templar yang ditubuhkan pada tahun 1108 untuk melindungi Makam Suci di Jerusalem. Askar Templar memakai jubah putih dihias dengan salib merah dan mengangkat sumpah setia yang sama sebagai rahib mazhab Benedict, iaitu kemiskinan, kesucian dan ketaatan. Askar Templar merupakan antara pembela paling berani di Tanah Suci. Mereka merupakan askar Salibi terakhir yang meninggalkan Tanah Suci. Pada tahun berikutnya mereka menjadi kaya daripada sumbangan derma dan dengan memberi pinjaman beserta bunga, menarik iri hati dan kesangsian daripada para raja. Pada tahun 1307 Raja Philip IV dari Perancis menuduh mereka melakukan banyak jenayah, termasuk bidaah, menangkap mereka dan merampas tanah mereka. Pemimpin Eropah lain mengikuti tindakan baginda dan golongan Templar dimusnahkan. Satria St. John dari Jerusalem atau Kesateria Hospitaller telah ditubuhkan asalnya untuk merawat orang sakit dan penziarah miskin yang melawat Makam Suci. Ia ditukarkan kepada golongan ketenteraan tidak lama kemudian. Mereka memakai jubah merah dengan bentuk salib berwarna putih dan mereka juga mengangkat sumpah St. Benedict. Kesateria Hospitaller menetapkan piawai yang tinggi dan tidak membenarkan golongan mereka untuk menjadi kaya dan malas. Apabila diusir keluar dari Tanah Suci berikutan penyerahan kastil agung mereka iaitu Krak des Chevaliers, mereka berundur ke pulau Rhodes yang mereka pertahankan selama bertahun-tahun. Diusir dari Rhodes oleh orang Turki, mereka menetap di Malta. Golongan ketenteraan agung ketiga ialah Satria Teuton yang ditubuhkan pada tahun 1190 untuk melindungi perjalanan penziarah Jerman ke Tanah Suci. Sebelum Perang Salib berakhir, mereka telah mengubah usaha mereka kepada menukarkan orang pagan di Prussia dan di Negara-negara Baltik. Lambang Kebangsawanan Untuk membezakan satria di medan tempur, sistem lencana yang dipanggil lambang kebangsawanan telah dibangunkan. Lencana khas dibuat untuk setiap orang bangsawan untuk ditayangkan pada perisai, jubah, bendera dan cap mereka. Jubah yang dihias dengan lencana satria mula dikenali sebagai jubah berjata dan istilah jata kemudian mula digunakan untuk memanggil lencana itu sendiri. Organisasi bebas yang dikenali sebagai Kolej Bentara mereka bentuk lencana individu dan memastikan setiap satunya adalah unik. Lencana direkodkan oleh bentara dalam buku khas di bawah jagaan mereka. Jata diwarisi dari satu generasi ke satu generasi dan akan diubah suai menerusi perkahwinan. Reka bentuk tertentu dikhaskan untuk kerabat diraja di negara yang berbeza. Menjelang akhir Zaman Pertengahan kota, persatuan, malah penduduk kota penting yang bukan bangsawan dianugerahkan jata. Di medan tempur, askar tempur menggunakan jata untuk membezakan antara kawan dan lawan serta untuk memilih musuh yang layak dalam pertarungan senjata tangan. Bentara membuat senarai tentang satria yang akan bertarung mengikut lencana mereka. Bentara juga dianggap sebagai pihak neutral dan akan bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak musuh. Dengan cara ini, mereka mungkin menghantar pesanan antara askar pertahanan kastil atau kota serta pengepungnya. Selepas pertempuran, bentara mengenal pasti mayat menerusi jata mereka.