Orang Lithuania Orang Lithuania dianggap sebagai salah satu tamadun tertua Eropah kerana nenek moyang mereka menetap di rantau Baltik sejak milenium ketiga Sebelum Masihi. Menjelang Awal Zaman Pertengahan, orang Baltik telah terbahagi kepada kumpulan berbeza, termasuk orang Lithuania. Struktur masyarakat berpusat pada ketua puak, yang menghalang kemunculan negara-negara besar. Namun, kerana tekanan daripada serangan Rus dan Viking, ketua puak tempatan mula bekerjasama. Gabungan puak Lithuania ini membuka jalan kepada tatanegara yang lebih kompleks. Pada beberapa abad yang seterusnya, pemerintah-pemerintah berkuasa bukan sekadar menggabungkan puak tetapi turut meluaskan wilayah mereka untuk membentuk salah satu kerajaan terbesar Eropah: Pada permulaan abad ketiga belas, duke muda bernama Mindaugas (r. 1236-1263) membina namanya melalui kejayaan ketenteraan. Pada masa yang sama, Paus Gregory IX mengisytiharkan perang salib menentang orang pagan Lithuania. Orang pagan bersatu di bawah Mindaugas dan menghapuskan golongan ketenteraan Kristian iaitu Saudara Pedang Livonia. Golongan Teuton walau bagaimanapun, meneruskan kempen. Tidak dapat mengalahkan mereka melalui serangan, Mindaugas memeluk agama Kristian, secara efektif melenyapkan punca untuk berlakunya perang salib. Pada tahun 1253, paus mengiktiraf beliau sebagai pemerintah dan memahkotai Mindaugas sebagai raja yang pertama dan terakhir dalam sejarah Lithuania. Semua pemerintah seterusnya memegang gelaran Duke Agung. Namun, perikatannya bersama orang Kristian tidak diterima baik oleh penduduk pagan dan Mindaugas dibunuh pada tahun 1263. Selepas sedekad kacau-bilau, asas untuk kerajaan jangka panjang telah dibina di bawah Gediminas (r. 1316-1341). Mula-mula, dia menggunakan kemahiran diplomatik untuk menjamin kedudukan Lithuania dalam politik antarabangsa. Dia mendapat sokongan pemerintah Eropah dan paus walaupun tidak memeluk agama Kristian. Tambahan pula, dia telah mendirikan ibu kota baru di Vilnius, dan menjemput artisan dan cendekiawan Barat. Akhirnya, dia menjamin sempadan dengan rangkaian kubu bukit yang dipertahankan oleh pengawal profesional dan Leiciai yang merupakan hamba peribadi Duke Agung. Disebabkan oleh semua pencapaian ini, Gediminas dianggap sebagai pengasas sebenar Duchy Agung Lithuania. Keturunannya, dinasti Gediminid memerintah selama dua abad. Peluasan wilayah terbesar duchy tersebut dilakukan oleh Algirdas (r. 1345-1377) yang mengilhakkan wilayah Rus selepas mengalahkan Gerombolan Kencana Tatar. Penyerapan sungguh ramai orang Rus menyebabkan asimilasi beberapa unsur budaya, terutamanya sistem tulisan. Namun, semua ini berubah di bawah pemerintahan Jogaila (r. 1377-1381). Sebagai kerajaan pagan terakhir, Lithuania terperangkap antara Kristian Eropah dan Ortodoks Muscovy. Untuk melindungi duchy, Jogaila mengambil agama Kristian sebagai agama rasmi kerajaan dan mengahwini permaisuri Poland. Ikatan ini menyebabkan budaya Lithuania menjadi seperti orang Poland. Di bawah pemerintahan Vytautas yang Agung (r. 1392-1430), pemerintahan duchy tersebut mencapai puncak kuasa yang tertinggi. Vytautas paling terkenal kerana memerintahkan tentera Lithuania dalam pertempuran Grunwald (1410), salah satu pertempuran terbesar yang pernah berlaku dalam Zaman Pertengahan Eropah. Dalam pertempuran ini, tentera gabungan Lithuania-Poland mengalahkan Golongan Teuton, lalu menghentikan peluasan kuasa Jerman selama dua abad di wilayah Baltik. Teras tentera Lithuania terdiri daripada pasukan berkuda ringan dengan perisai dan lembing mengikut jenis peperangan yang berlaku di wilayah Rus dan Tatar. Infantri, yang dilengkapi dengan pelbagai senjata dan perisai pavise, berfungsi secara utama sebagai sokongan kepada pasukan berkuda. Pada penghujung Zaman Pertengahan, pertahanan duchy diancam oleh serangan Muscovy. Sebagai tindak balas, orang Lithuania menguatkan ikatan yang telah wujud dengan Poland dan menubuhkan Komanwel Poland-Lithuania pada tahun 1569. Lithuania kekal sebagai negara merdeka, tetapi kerana tiada pemerintah yang kuat, ia menjadi anggota bawahan bagi gabungan tersebut. Pada tahun 1795, wilayahnya diilhakkan oleh negara jiran.