Orang Magyar Asal-usul orang Magyar boleh dikesan hingga sekurang-kurangnya 2000 Sebelum Masihi semasa mereka hidup sebagai pemburu nomad di kawasan antara Sungai Volga dan Gunung Ural. Menjelang 500 Masihi, mereka mula berhijrah ke Eropah Tengah. Pada abad ke-8, mereka menduduki wilayah berdekatan dengan sungai Don, tetapi berpindah ke kawasan Ukraine moden selepas perang saudara tercetus pada abad ke-9. Satu lagi perang, iaitu perang Bulgar-Byzantine memaksa orang Magyar berhijrah sekali lagi sekitar tahun 896: di bawah ketua mereka iaitu Arpad, mereka menawan beberapa kelompok orang Slav yang tinggal di Lembangan Karpatos. Di sini, mereka akhirnya menetap dan mendirikan Kerajaan Hungary. Kerajaan Hungary pada mulanya hanya persekutuan puak yang diperintah oleh keturunan Arpad yang dipanggil sebagai Putera Agung. Untuk mengekalkan kerjasama puak, orang Magyar melakukan serbuan di seluruh Eropah semasa abad ke-9 dan ke-10. Tentera mereka kebanyakannya terdiri daripada pasukan berkuda ringan yang lengkap dengan busur lentik Asia yang diwarisi daripada asal-usul timur mereka. Orang Magyar gemar melakukan serangan pantas yang didahului dengan tembakan anak panah serentak. Selepas orang Magyar kalah dalam Pertempuran Lechfield (955), mereka mula meninggalkan taktik serbuan dan mengamalkan gaya perang Eropah Barat: pasukan berkuda berat dan ringan bercampur dengan infantri. Pengakhiran serbuan mereka turut menimbulkan cabaran politik: ikatan antara puak menjadi lemah. Di sini juga, Putera Agung mencari cara penyelesaian dalam model Eropah Barat. Putera Istvan I menjayakan rancangan ayahnya dengan memperkukuhkan kuasa, membentuk semula kerajaan dan memperkenalkan agama Kristian di Hungary. Upacara kemahkotaannya oleh Paus pada tahun 1000 menandakan asas penubuhan Kerajaan Hungary. Semasa abad ke-11 dan ke-12, Hungary semakin menjadi seperti masyarakat Eropah Barat. Namun, pada abad ke-13, kerajaan tersebut menderita: raja hilang kuasa kepada bangsawan sementara serangan orang Mongol membinasakan negara tersebut pada tahun 1241. Di samping itu, raja terakhir Apad mangkat pada tahun 1301, yang menyebabkan perang dalaman selama tujuh tahun. Selepas tujuh tahun tersebut, Charles Robert dari Anjou dipilih sebagai raja asing pertama Hungary. Ia juga merupakan permulaan zaman kegemilangan kerajaan tersebut: kuasa diraja dikembalikan semula dan dasar penaklukan menjadikan Hungary sebagai salah satu kerajaan terbesar Eropah. Salah satu faktor utama dalam pembaharuan kuasa ini adalah kerana lombong emas Hungary dan pertumbuhan penting dalam perdagangan kewangan yang kedua-duanya dimonopoli oleh raja. Disebabkan ini dan perkembangan bidang pertanian, tumpuan kepada penternakan lembu dan wain, Hungary mula pulih daripada kepayahan abad sebelumnya. Semasa zaman kegemilangan yang sama, Empayar Turki Uthmaniyyah berkembang dengan pesat. Sejak upacara kemahkotaan Istvan I, Kerajaan Hungary merupakan dunia Kristian yang paling timur. Dengan tindakan ini, budaya zaman pertengahan orang Magyar mula terbentuk: warisan daripada kawasan steppe Eurasia mula lenyap, manakala unsur Kristian dan Eropah Barat mula diamalkan. Hungary menandakan sempadan untuk seni bina, arca dan lukisan Romanesque dan Gothik. Malah bandar Buda menjadi pusat Renaissance pada abad ke-15. Oleh itu Hungary merupakan benteng besar Kristian menentang orang Mongolia dan kemudian orang Rusia di timur, dan juga Empayar Byzantine dan kemudian Empayar Uthmaniyyah di selatan. Pada tahun 1456, jeneral John Hunyadi memenangi perang muktamad yang menghentikan peluasan kuasa Empayar Uthmaniyyah ke Eropah selama beberapa dekad. Pada abad ke-16 walau bagaimanapun, benteng pertahanan Hungary akhirnya jatuh: kawasan barat laut jatuh kepada pemerintahan Habsburg, manakala bahagian selatan jatuh ke tangan Empayar Uthmaniyyah.