Orang Mongol Orang Mongol ialah orang nomad dari kawasan steppe Asia Tengah. Mereka merupakan pahlawan bengis yang berperang sesama sendiri untuk padang rumput ternak dan menyerang tamadun maju di timur dan selatan. Pada permulaan abad ketiga belas, puak Mongol bersatu dan memulakan kempen penaklukan luar negeri. Mengikuti jejak puak Hun, iaitu puak penakluk seribu tahun yang lalu, mereka mengukir salah satu empayar terbesar yang tidak pernah disaksikan oleh dunia sebelum itu. Orang Mongol mendiami dataran di selatan Tasik Baikal. Pada kemuncaknya, empayar mereka terbentang dari Laut Baltik dan Laut Hitam hingga lautan di bahagian timur China. Mereka menguasai sebahagian Eropah Timur, Steppe Eurasia, Anatolia, Timur Tengah dan sebahagian Asia Tenggara dan Timur. Puak Mongol disatukan oleh Temuchin, yang dipanggil Genghis Khan ("pemerintah agung"), pada awal abad ketiga belas. Cita-cita baginda adalah untuk memerintah semua tanah di antara lautan (Pasifik dan Atlantik) dan baginda hampir melakukan sedemikian. Bermula dengan hanya kira-kira 25,000 pahlawan, baginda menambah kekuatan dengan menundukkan puak nomad lain dan menyerang utara China pada tahun 1211. Baginda menakluk Beijing pada 1215 selepas kempen yang mungkin mengorbankan 30 juta nyawa penduduk China. Orang Mongol kemudian berpaling ke barat, menakluk bandar perdagangan Bukhara yang hebat di Laluan Sutera pada 1220. Bandar ini dibakar sehingga hancur dan penduduknya dibunuh. Selepas kemangkatan Genghis Khan pada 1227, anaknya Ogedei menyelesaikan penaklukan utara China dan mara ke Eropah. Baginda memusnahkan Kiev pada 1240 dan mara ke Hungary. Apabila Ogedei mangkat dalam kempen pada 1241, seluruh tentera telah berundur untuk menyelesaikan persoalan warisan takhta. Eropah terselamat kerana pemerintah Mongol menumpukan usaha mereka terhadap Timur Tengah dan China selatan. Hulagu, cucu Genghis, menghapuskan "Pembunuh" Muslim dan kemudian merampas ibu kota Muslim iaitu Baghdad pada 1258. Kebanyakan daripada sejumlah 100,000 penduduk bandar terbunuh. Pada 1260 tentera Islam Mamluk Mesir (pahlawan hamba berstatus tinggi) mengalahkan orang Mongol di kawasan Israel masa kini, mengakhiri ancaman Mongol terhadap Islam dan bandar sucinya. Kublai Khan, cucu lain Genghis, menyelesaikan penaklukan China pada 1279, mendirikan dinasti Yuan. Percubaan serangan ke atas Jepun dipatahkan dengan kerugian besar pada 1274 dan 1281. Pada 1294 Kublai Khan mangkat di China, dan kuasa Mongol mula merosot di Asia dan di tempat lain. Pada 1368 dinasti Yuan di China telah digulingkan memihak kepada Ming. Pada 1370, seorang pahlawan Turki-Mongol yang mendakwa keturunan dari Genghis Khan bertempur sehingga mencapai kepimpinan negara-negara Mongol di Asia Tengah dan telah berjuang untuk memulihkan Empayar Mongol. Namanya ialah Timur Leng (Timur, "si Cacat," atau Tamerlane bagi orang Eropah dan Putera Kemusnahan bagi orang Asia). Dengan tentera lain seramai kira-kira 100,000 askar berkuda, mereka menyerang masuk ke Rusia dan Parsi, melawan terutamanya umat Islam yang lain. Pada 1398, baginda menjarah Delhi, membunuh 100,000 penduduk. Baginda mara ke barat dan mengalahkan tentera Mamluk Mesir di Syria. Pada 1402, baginda mengalahkan sebuah tentera besar Turki Uthmaniyyah berhampiran dengan kawasan Ankara moden. Di ambang kemusnahan Empayar Uthmaniyyah, baginda tiba-tiba berundur. Baginda mangkat pada 1405 ketika berarak ke China. Baginda lebih suka menakluk kekayaan dan terlibat dalam pembunuhan besar-besaran, tanpa berhenti untuk menubuhkan kerajaan yang mantap semasa meluaskan kuasa. Oleh sebab itu, empayar besar yang diwarisi oleh anak-anaknya jatuh dengan cepat setelah kemangkatannya.