Perang Laut Keperluan untuk kapal perang di Lautan Mediterranean pudar selepas Orang Rom menguasai sepenuhnya tanah di sekitarnya. Tiada empayar lain yang bertentera laut untuk menawarkan saingan, dan kegiatan melanun telah hampir dihapuskan. Berikutan kejatuhan Empayar Rom Barat, tamadun baharu muncul daripada kejatuhan empayar tersebut dan kegiatan melanun kembali lagi. Kapal perang diperlukan semula untuk mempertahankan daripada pencerobohan, mengunjurkan kuasa ketenteraan dan melindungi laluan perdagangan laut. Kapal Byzantine Orang Byzantine merupakan kuasa tentera laut Mediterranean agung pada awal Zaman Pertengahan. Kuasa tentera laut adalah penting untuk kelangsungan hidup mereka dan empayar luas mereka. Pertahanan darat Constantinople sangat hebat dan sangat menyukarkan serangan langsung ke atas kota, tetapi bandar tersebut harus memastikan laluan bekalan lautnya terbuka untuk mencegah pengepungan berjaya. Selagi tentera laut dapat membawa masuk bekalan, keselamatan bandar tersebut akan terjamin. Kapal perang utama orang Byzantine pada awal Zaman Pertengahan ialah dromen, sebuah evolusi kapal perang dayung purba seperti trireme. Dromen lazimnya panjang dan sempit untuk kelajuan. Kuasa dijanakan menggunakan 50 hingga 200 pendayung dan layar lateen. Tiang diletakkan di tengah-tengah bahagian hadapan dan bahagian belakang kapal. Dromen membawa cangkuk pada haluan untuk mencangkuk kapal musuh sebelum dinaiki. Pelantak jarang kelihatan. Pelantar dibina di bahagian tengah, haluan dan buritan. Dari pelantar ini pemanah dan tarbil boleh menembak kapal dan anak kapal musuh. Pertempuran lazimnya melibatkan cubaan untuk menghentam atau melumpuhkan kapal musuh, kemudian dicengkam dan dinaiki oleh tentera marin. Orang Byzantine menggunakan senjata rahsia yang dikenali sebagai api Yunani secara berkesan. Ini merupakan campuran kimia yang mudah terbakar apabila bertembung dengan udara. Ia disembur menerusi hos ke arah kapal musuh atau dilontarkan dalam bom. Ia merupakan senjata yang membinasakan terhadap kapal kayu dan penting bagi orang Byzantine dalam pertempuran laut mereka melawan orang Arab. Rahsia api Yunani sungguh penting dan sungguh dirahsiakan sehingga ia telah hilang dan kita masih tidak pasti apakah ia sebenarnya. Kapal Mediterranean Kapal perang berdayung yang dikenali sebagai geliung masih menjadi kapal perang utama Mediterranean sehingga selepas akhir Zaman Pertengahan kerana kawasan perairannya agak terlindung daripada angin kencang. Pada masa yang sama, negara kota Itali iaitu Genoa dan Venice beransur-ansur menjadi kuasa tentera laut sepadan dengan peningkatan kepentingan perdagangan mereka dengan kawasan Levant. Orang Arab juga membina tentera laut untuk mempengaruhi perdagangan dan menyokong konflik mereka dengan orang Byzantine dan orang Kristian lain bagi mengawal Mediterranean. Permulaan Perang Salib pada abad kesebelas membawa kapal dari Eropah Utara yang telah dibina dengan reka bentuk yang sangat berbeza. Kapal Eropah Puak Jerman yang menduduki Eropah Utara sekitar tahun 500 telah membangunkan beberapa jenis kapal baharu. Kapal perdagangan biasa adalah berbadan lebar dan memiliki drauf yang dalam. Pada awalnya, ia memiliki satu tiang dan kemudian bertambah lebih banyak apabila saiznya semakin besar. Orang Norse memanggil kapal jenis ini sebagai knarr. Kita mengetahui banyak tentang kapal ini sekarang kerana salah satunya ditemui di dasar pelabuhan di Denmark pada tahun 1960. Kebanyakan perdagangan dan penerokaan orang Anglo-Saxon dan Viking dilakukan menggunakan kapal jenis ini. Ia berkembang menjadi kog, kapal dagang utama pada lewat Zaman Pertengahan. Kapal drauf dalam ini direka supaya mudah dilayarkan dan kapasiti kargo yang besar. Pertempuran kapal di Eropah utara kebanyakannya adalah lanjutan pertempuran darat. Menara dibina pada haluan dan buritan kog untuk perlindungan dan pelantar memanah untuk pemanah. Anak kapal memanah antara satu sama lain ketika kapal datang berhampiran, tetapi tujuannya hanya untuk melumpuhkan anak kapal dan askar musuh. Kapal bertemu dan cuba untuk menawan satu sama lain dalam pertempuran bersenjata tangan. Kapal layar dalam kawasan perairan ini tidak mempunyai keupayaan merempuh. Tiada senjata yang boleh melakukan kerosakan struktur besar kepada kapal lain atau menenggelamnya sehingga meriam muncul pada abad keempat belas. Sejumlah 400 kapal perang jenis kog Inggeris dan Perancis yang membawa kontinjen pemanah besar dan askar berjalan kaki terlibat dalam pertempuran laut di Sluys pada tahun 1340 yang biasa berlaku sekitar lewat Zaman Pertengahan. Mereka sekadar berpaut bersama-sama untuk pertempuran pemanah dan pertempuran dekat. Meriam pertama telah dipasang pada haluan atau buritan kapal. Meriam kecil yang dipasang pada susur tepi telah digunakan untuk menentang anak kapal musuh. Kapal Inggeris Christopher of the Tower pada tahun 1406 merupakan kapal pertama yang dibina supaya membawa senapang. Hanya pada penghujung Zaman Pertengahan, kapal mulai dipasangkan dengan meriam sisi yang berupaya membocorkan badan kapal. Kapal panjang orang Viking lebih bersifat kapal pengangkut berbanding kapal perang. Orang Viking jarang berlawan dari kapal panjang mereka. Apabila ia terjadi, terdapat laporan tentang bot yang diikat bersama untuk menyediakan pelantar bagi pertempuran senjata tangan. Kapal panjang digerakkan dengan dayung sehingga abad kelapan atau kesembilan apabil layar mula ditambah. Walaupun ia kelihatan rapuh dan tidak kelihatan seperti kapal untuk berlayar di lautan, replika moden membuktikan ia sangat layak berlayar di lautan. Jarak tambahan yang diperoleh dengan layar adalah sebahagian daripada sebab orang Viking mula menjarah pada abad kesembilan. Curragh Ireland ialah sebuah bot kecil yang digunakan terutamanya untuk perdagangan persisiran dan merantau tetapi mampu berlayar di lautan dalam juga. Bot ini dibina daripada kulit haiwan yang diregangkan pada bingkai kayu. Kulit haiwan itu dikedap dengan pic untuk kalis air. Bot sangat ringan ini dikuasai dengan layar kecil atau boleh didayungkan. Semasa cuaca buruk, lapik kulit dapat ditutup untuk memastikan kapal kedap air dan sukar tenggelam. Rahib orang Ireland menerokai Atlantik Utara menggunakan bot ini dan sampai di Iceland lama sebelum orang Viking. Terdapat kisah tidak berasas bahawa rahib juga berlayar ke Dunia Baharu. Perang Salib membawa kapal utara ke Mediterranean dan hubungan antara pelayar dan pembina kapal dari utara dan selatan. Orang utara mulai mengadaptasi ciri-ciri kog termasuk badan kapal yang besar dan layar segi empat. Orang utara belajar tentang kompas, kemudi dan layar lateen. Kapal China Pembina kapal terhebat pada Zaman Pertengahan kemungkinannya orang China. Jong China biasa adalah kapal yang lebih baik daripada apa yang terdapat di Barat selama berabad-abad. Ia adalah gabungan terbaik bagi ruangan kargo, keupayaan berlayar dan kelayaklayaran. Pada tahun 1405, Laksamana Cheng Ho dari China membentuk tentera laut besar yang dianggotai 25,000 askar dan menerokai kebanyakan Kawasan Pasifik Barat Daya dan Lautan Hindi. Pemerintah China memandang hina terhadap pencapaian ini dan penemuannya. Kapal terhebat di dunia pada masa tersebut tersadai dan dibiarkan mereput.