Orang Portugis Serupa seperti Sepanyol, sejarah Zaman Pertengahan Portugal boleh dibahagikan kepada tiga bab utama: peluasan kuasa kerajaan Visigoth selepas perpecahan Empayar Rom, kemunculan negara Iberia Islam dan penaklukan semula oleh kerajaan Kristian di Iberia. Terutamanya semasa bab ketiga, sejarah orang Portugis dan orang Sepanyol menyimpang antara satu sama lain menyebabkan kewujudan dua budaya tersendiri. Reconquista di Semenanjung Iberia dimulakan oleh Pelagius, seorang bangsawan Visigoth yang berjaya memberontak terhadap penakluk Muslim sekitar 722 Masihi. Disebabkan tindakan ini, beliau merupakan orang pertama yang menubuhkan semula tempat bertapak Kristian, iaitu kerajaan Asturias. Selama dua abad yang seterusnya, pengganti Pelagius telah meluaskan pemerintahan mereka sehingga bahagian barat laut semenanjung. Terutamanya, pada 868 Masihi, Vimara Peres menakluk bandar Portucale (Porto masa kini) dan kawasan sekitarnya. Sebagai tanda terima kasih, Raja Alfonso III menggelarnya sebagai Count Portugal. Kedudukan geografi yang terpencil dan sebagai wilayah sempadan yang jauh daripada istana diraja, Wilayah Portugal menikmati autonomi politik yang agak tinggi. Dari segi budaya, perkembangan bahasa Portugis menunjukkan perbezaan dengan Leon, iaitu pengganti negara Asturias yang merupakan penaung bagi Portugal. Oleh itu, identiti mereka yang unik mendorong semangat orang Portugis untuk mendapatkan kemerdekaan sebenar daripada Leon. Akhirnya mereka berjaya mencapai kemerdekaan antara 1128 Masihi dan 1143 Masihi, apabila Afonso Henriques memberontak terhadap ibunya, iaitu countess Portugal, dan raja Leon. Semasa abad seterusnya, orang Portugis meluaskan wilayah mereka ke arah selatan. Afonso Henriques mengambil kesempatan atas kejatuhan Kerajaan Bani Umaiyah di al-Andalus untuk menakluk wilayah yang penting. Dengan bantuan tentera Salibi yang lalu berhampiran, dia berjaya menakluk bandar Lisbon pada 1147 Masihi. Algarve, wilayah paling selatan akhirnya ditakluk pada 1250 Masihi yang membolehkan Portugal mengukuhkan sempadan semula jadi mereka. Sejak itu, sempadan negara tersebut menjadi agak stabil. Ekonomi orang Portugis secara tradisional tertumpu kepada perikanan dan pertanian. Selain itu, kerajaan tersebut memiliki salah satu sumber tembaga dan timah terkaya di Eropah pada Zaman Pertengahan. Dengan gabungan wilayah Algarve, wain dan garam dapat dieksport ke England dan Flander. Bermula dari abad keempat belas, perdagangan, terutamanya perdagangan laut menjadi semakin penting. Raja Afonso IV (1291 - 1357 Masihi) dan Putera Infante Henrique (1394 - 1460 Masihi) kedua-duanya banyak melabur pada tentera laut dan misi penerokaan Portugis. Oleh sebab itu, Infante Henrique dilihat ramai sebagai pemula utama Zaman Penerokaan. Baginda bukan sahaja menyelia pembangunan karavel, iaitu kapal ringan dan pantas, tetapi juga menaja banyak ekspedisi ke benua Afrika sendiri, membina asas bagi Empayar Portugis. Rangkaian perdagangan besar terhasil daripada misi penerokaan ini telah menimbulkan zaman kegemilangan Portugal. Antara abad kelima belas dan keenam belas, tentera Portugis menjadi salah satu tentera dengan teknologi termaju di dunia, menggunakan senjata serbuk letupan dengan sangat meluas. Namun, kekayaan yang diperoleh melalui perdagangan juga digunakan untuk menaja kemajuan dalam bidang seni dan sains. Sarjana dan artis dari seluruh Eropah tertarik ke Portugal dan memulakan Zaman Pembaharuan Portugis yang unik. Bagi keseluruhan Zaman Moden Awal, Portugal kekal sebagai kuasa besar dari segi ekonomi, politik dan budaya.