Orang Saracen Nama Saracen asalnya digunakan untuk orang padang pasir nomad daripada kawasan yang terbentang dari Syria moden hingga Arab Saudi. Dalam penggunaan yang lebih luas, nama tersebut digunakan untuk semua orang Arab semasa Zaman Pertengahan. Orang nomad padang pasir ini muncul tiba-tiba pada abad ketujuh dan mendirikan empayar yang sungguh luas dalam tempoh satu abad setengah. Penaklukan mereka didorong oleh keimanan dan semangat yang tinggi. Dengan mengikut ajaran Nabi Muhammad, niat mereka adalah untuk mengubah pandangan agama dan politik di seluruh dunia. Menjelang tahun 613, Nabi Muhammad telah menyampaikan ajaran tentang agama baharu yang dipanggil sebagai Islam. Dipulaukan di bandar kelahirannya iaitu Mekah, baginda berpindah ke Madinah, lalu membina pengikut yang kuat di sana dan kembali semula untuk menyerang dan menawan Mekah. Berikutan kewafatan baginda pada tahun 632, ajarannya dikumpul untuk membentuk al-Quran, iaitu kitab suci orang Islam. Pada tahun 634, pengikutnya memulakan jihad atau perang suci mereka. Dalam tempoh lima tahun mereka berjaya menakluk Mesir, Palestin dan Syria. Toleransi mereka terhadap orang Yahudi dan orang Kristian telah memudahkan penaklukan mereka kerana orang-orang ini telah ditindas oleh orang Byzantine. Dalam tempoh 60 tahun seterusnya, Afrika Utara di barat dan Parsi di timur telah jatuh ke tangan Islam. Pada awal abad kelapan, orang Saracen daripada Tangier menyerang Semenanjung Iberia dan menakluk kerajaan Visigoth yang telah ditubuhkan di sana selepas kejatuhan Rom. Di Asia, mereka merampas Asia Kecil daripada orang Byzantine dan cuba untuk menawan Constantinople dengan gabungan serangan daripada darat dan laut. Tembok besar bandar menggagalkan serangan darat dan armada Saracen dikalahkan di laut. Di barat, Charles Martel daripada kalangan orang Frank telah menghentikan serangan Saracen ke atas kawasan Perancis moden di Poitiers pada tahun 732. Gagal di kawasan barat, tentera Islam berpaling ke timur. Menjelang tahun 750, mereka telah menakluk hingga Sungai Indus dan di utara India, memasuki Asia Tengah ke sempadan China. Pada tahun 656, dunia Islam terlibat dalam perang saudara antara dua puak iaitu orang Sunni dan orang Syiah. Mereka mempunyai beberapa perbezaan pendapat, termasuk pemilihan khalifah dan tafsiran al-Quran. Akibat peperangan selama 60 tahun, kerajaan Islam telah berpecah-belah, sesetengah ditadbir oleh orang Sunni (Semenanjung Iberia) dan yang lain oleh orang Syiah (Mesir dan Iraq moden). Selepas itu, kerajaan-kerajaan Islam yang baru bertindak secara berasingan. Sepanyol Islam membangun menjadi salah satu negara berkuasa Eropah semasa awal Zaman Pertengahan. Orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup bersama dengan agak harmoni, dan budaya yang kaya muncul daripada beberapa pengaruh ini. Bidang seni, seni bina dan pendidikan telah berkembang dengan giat. Walau bagaimanapun menjelang tahun 1000, Sepanyol Islam telah berpecah kepada puak-puak yang berperang. Perang saudara ini memudahkan penaklukan semula semenanjung (Reconquista) secara perlahan-lahan oleh gabungan kerajaan Castile dan Aragon yang akhirnya selesai pada tahun 1492. Asia Kecil dan Timur Tengah telah ditakluk oleh orang Islam Turki pada awal abad kesebelas. Sebagai balas panggilan bantuan daripada orang Byzantine, beberapa siri Perang Salib dilancarkan dari Eropah untuk menawan semula Palestin daripada orang Turki. Kerajaan Islam berasingan di kawasan tersebut telah kehilangan Palestin dan pantai Mediterranean Timur kepada Perang Salib Pertama. Pada akhir abad kedua belas, ketua orang Saracen yang hebat iaitu Saladin berjaya menyatukan Mesir, Syria dan kerajaan-kerajaan kecil, dan baginda menawan semula Jerusalem. Kerajaan-kerajaan Islam kekal berasingan lama selepas Zaman Pertengahan dan akhirnya menjadi negara bangsa Arab moden di Timur Tengah dan Afrika Utara. Namun, kerajaan-kerajaan ini mengalami kemerosotan ekonomi apabila bangsa Eropah membuka laluan perdagangan mereka sendiri ke Asia pada abad kelima belas dan keenam belas.