Orang Slavik Penghijrahan besar-besaran pada abad kelima akibat serangan orang Hun telah membuka kawasan timur laut Eropah untuk penempatan dan sejak kira-kira 500 Masihi, orang Slavik menjadi tamadun utama di wilayah tersebut. Walaupun bukti arkeologi menunjukkan orang Slavik telah menetap di Eropah pada abad-abad sebelumnya, mungkin di kawasan Ukraine dan Belarus masa kini, rekod sejarah pertama menyebut tentang mereka melalui penulisan Byzantine yang menerangkan jumlah besar orang Slavik bekumpul berdekatan dengan sempadan mereka. Setelah membina petempatan, orang Slavik mendirikan beberapa negara yang bersaing di seluruh Eropah Timur, di dalam lingkungan pengaruh Byzantine atau Rom Suci. Negara Slavik agung yang pertama, Empayar Bulgaria, dibentuk pada 681 Masihi. Negara ini diasaskan oleh orang Bulgar, iaitu puak Turki yang menetap di Balkan Timur (utara Empayar Byzantine). Walau bagaimanapun, Empayar Bulgaria meluaskan kuasa ke hampir keseluruhan kawasan Balkan, yang menjelang tempoh itu telah diduduki terutamanya oleh orang Slavik, dan menjelang abad kesepuluh negara tersebut secara hakikatnya dikuasai budaya Slavik. Empayar Bulgaria memainkan peranan penting dalam penyatuan tamadun Slavik, dengan bahasanya menjadi lingua franca untuk menyebarkan agama Kristian dan celik huruf di Eropah Timur. Moravia Raya ialah satu lagi negara Slavik penting semasa zaman pertengahan, dibentuk di Eropah Tengah selepas gabungan negara kecil Nitra dan Moravia pada tahun 833. Walaupun Moravia Raya tidak pernah menjadi kuasa besar, ia memainkan peranan penting dalam imbangan kuasa antara orang Frank, Bulgaria dan Byzantine. Apabila Raja Ratislav yang memerintah Moravia Raya meminta orang Byzantine untuk membantu menterjemah teks agama Kristian kepada bahasa Slavik, Cyril dan Methodius iaitu mubaligh Byzantine yang diamanahkan dengan tugas itu telah berjaya mencipta abjad Slavik yang pertama dan menulis teks tertua dalam kesusasteraan Slavik (terjemahan Gospel Kristian) pada tahun 863. Barangkali negara Slavik hebat yang terakhir pada zaman pertengahan telah ditubuhkan di sekitar Kiev, di Ukraine masa kini, pada 882 Masihi. Kerajaan Rus Kiev ini, walaupun kebanyakan penduduknya ialah orang Slavik, telah diketuai oleh orang Scandinavia (dipanggil Rus) yang memperoleh kuasa di kawasan tersebut dengan menewaskan pemerintahan orang Khazar Turki. Pembebasan bandar ini dan beberapa bandar Slavik yang lain membolehkan mereka lebih fokus terhadap perkembangan dalaman dan bukannya di tanah asing. Kedudukan geografi wilayah tersebut memberikan manfaat dari segi ekonomi, kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perdagangan Asia-Eropah dan hampir dengan Byzantine dan Parsi. Di bawah pemerintahan Yaroslav yang Bijaksana, negara Kiev tersebut bukan sahaja menjadi yang terbesar pada zaman itu tetapi turut mencapai kadar celik huruf yang tinggi, memberikan hak harta kepada wanita, serta hukuman di bawah undang-undang secara amnya tidak melibatkan hukuman mati. Namun, kematian Yaroslav beransur-ansur membawa kepada perpecahan negara tersebut yang akhirnya jatuh kepada orang Mongolia menjelang 1240 Masihi. Semasa Zaman Pertengahan, kerajaan Slavik mengikut sistem feudal, tetapi bertentangan dengan bahagian lain di Eropah, kuasa raja dihadkan oleh golongan aristokrat berpangkat tinggi yang dipanggil boyar. Golongan Boyar bukan sahaja pemilik tanah berkuasa dengan beberapa pengikut di bawah perintahnya, tetapi mereka juga umumnya merupakan ketua angkatan tentera dan agensi kerajaan. Perikatan dan saingan antara aristokrat ini membentuk perkembangan ekonomi negara-negaa Slavik, yang menambah baik ketahanan domain mereka tetapi melemahkan kerajaan pusat. Menjelang Akhir Zaman Pertengahan, kebangkitan monarki mutlak menyebabkan kejatuhan golongan boyar.