Orang Tatar Mengikut sejarah, makna etnonim Tatar telah berubah secara berterusan untuk menamai pelbagai kumpulan penutur bahasa Turki dan Mongolia di dan sekitar kawasan Steppe Eurasia. Istilah itu pertama sekali digunakan untuk gabungan puak nomad yang menetap di timur laut Mongolia bermula pada abad kelima. Menjelang abad kesebelas, mereka terlibat dalam perang sengit dengan orang Mongol. Di bawah pemerintahan Genghis Khan (r. 1206-1227), bagaimanapun, orang Mongol telah menewaskan orang Tatar dan mendirikan salah satu empayar terbesar dalam sejarah. Ironiknya, orang Rus dan Eropah merujuk kepada bangsa yang diperintah oleh orang Mongol sebagai orang Tatar. Selepas kematian Genghis Khan, orang Tatar mengasaskan banyak negara pengganti Empayar Mongol. Walaupun tiada yang dapat menandinginya, beberapa tatanegara ini telah menjadi empayar yang besar: Apabila Empayar Mongol terbahagi kepada empat wilayah, konotasi dengan orang Tatar menjadi lebih khusus kepada wilayah barat laut yang dikenali sebagai Gerombolan Kencana (1227-1502). Di bawah pemerintahan Batu Khan (r. 1227-1255), orang Tatar meneruskan peluasan kuasa mereka ke arah barat, menakluk Cumania, Bulgaria Volga, Rus Kiev dan Eropah Timur. Untuk mengawal wilayah yang luas ini, mereka bergantung pada pergerakan pantas tentera berkuda ringan mereka. Kuda Mongolia yang tegap membolehkan mereka berkempen secara efektif dalam cuaca sejuk di kawasan steppe Rusia. Walaupun mereka lebih gemar mengumpan musuh untuk terlibat dalam pertempuran terbuka, orang Tatar sering mengupah jurutera China untuk membina senjata pengepungan apabila menyerang bandar. Disebabkan oleh penaklukan banyak puak Turki, budaya Tatar dipengaruh oleh budaya Turki selepas suatu tempoh. Gerombolan Kencana turut diislamkan apabila Ozbeg Khan (r. 1313-1341) memeluk Islam sebagai agama rasmi negara. Untuk menyimpang daripada tradisi dengan selanjutnya, baginda memindahkan ibu negeri Sarai ke lokasi baharu. Bandar ini berkembang pesat menjadi salah satu pusat bandar terbesar di wilayah tersebut. Apabila Ozbeg meninggal dunia, Gerombolan Kencana telah mencapai keluasan wilayahnya yang terbesar, tetapi kemudian jatuh merudum. Jumlah mangsa yang sungguh besar disebabkan oleh Maut Hitam pada tahun 1340-an telah menggangu ekonomi Tatar yang berasaskan ufti dan perdagangan antara benua Jalan Sutera. Tidak dapat mengekalkan tenteranya yang besar, empayar tersebut runtuh dan berpecah menjadi kekhanan yang lebih kecil. Menjelang akhir abad keempat belas, zaman pahlawan nomad seakan-akan berakhir kerana semua negara pengganti Empayar Mongol sedang berpecah. Namun, dalam keadaan kekosongan politik ini, seorang hulubalang bernama Timur (r. 1370-1405) yang dikenali di Barat sebagai Tamerlane telah bangkit berkuasa. Memulakan kerjayanya sebagai ketua kumpulan penyerang yang kecil, Timur menggunakan ilmu ketenteraannya untuk menguasai Kekhanan Chagatai pada tahun 1370, menubuhkan Empayar Timurid (1370-1507). Selama beberapa dekad berikutnya, baginda menakluk sebahagian besar Asia Tengah melalui satu siri kempen yang banyak menumpahkan darah. Sebagai contoh, di Delhi dan Aleppo baginda mengarahkan pembinaan 'menara' tengkorak selepas memenggal kepala tentera musuh yang ditawan. Berbanding dengan keganasannya di medan perang, Timur merupakan penaung budaya yang aktif. Baginda mengupah artisan yang mahir di seluruh empayar dan mengumpulkan mereka di istananya di Samarkand. Bidang seni bersemarak apabila pelbagai gaya dan teknik baru telah dibangunkan kerana interaksi budaya yang dimudahkannya. Orang Timurid mahir dalam gaya seni bina Seljuq, yang menunjukkan ciri kubah dan genting berwarna biru dan firus yang bercorak geometri. Gur-i Amir, iaitu makam Timur, dianggap sebagai kemuncak seni bina Parsi-Mongolia. Walaupun perkembangan budaya ini berterusan selepas kematian Timur, legasi politiknya adalah terhad. Empayar Timurid telah disatukan berdasarkan karisma peribadi Timur, dan selepas kematiannya, kerajaan tersebut berpecah-belah kerana perang saudara. Zaman kekuasaan Tatar akhinya berakhir.