Orang Teuton Asal-usul Jerman bermula dari pemahkotaan Charlemagne sebagai Maharaja Suci Rom pada tahun 800. Setelah kematiannya, empayar berpecah menjadi tiga bahagian yang beransur-ansur bersatu menjadi dua bahagian: kerajaan barat Frank yang menjadi Perancis dan kerajaan timur yang menjadi Jerman. Gelaran Maharaja Suci Rom kekal diwarisi keluarga Charlemagne sehingga abad kesepuluh apabila keturunan mereka berakhir. Pada tahun 919 Henry, iaitu Duke Saxony, dilantik sebagai raja Jerman oleh para duke yang lain. Anaknya Otto menjadi maharaja pada tahun 962. Empayar Suci Rom yang diperintah oleh Otto I merangkumi dataran Jerman di utara Baltik, ke arah timur di sebahagian kawasan Poland moden dan ke selatan merentas Switzerland moden, Austria moden dan utara Itali. Pada permulaannya, maharaja mengalami kesukaran untuk mengawal dua kawasan berbeza, iaitu Jerman dan Itali, yang dipisahkan oleh pergunungan Alp. Empayar Suci Rom berjaya pada awalnya kerana ia memberi manfaat kepada ahli utamanya, Jerman dan Itali. Orang Jerman tidak jauh daripada keadaan orang gasar. Mereka ditawan oleh Charlemagne hanya satu abad sebelum itu. Mereka mendapat banyak manfaat daripada budaya, teknologi dan perdagangan Itali. Orang Itali mengalu-alukan keadaan lebih aman dan stabil yang dijamin oleh empayar itu. Itali telah diserang secara berulang-ulang buat tempoh 500 tahun sebelumnya. Perlindungan empayar mempertahankan kepausan dan membolehkan negara-negara kota di Itali untuk memulakan perkembangan mereka. Tentera maharaja dianggotai sebahagiannya oleh penduduk tanah gereja yang berhutang khidmat kepada maharaja. Kontinjen penting kedua ialah ministriales, iaitu sebuah kor hamba yang menerima latihan dan kelengkapan terbaik sebagai satria tetapi bukan orang bebas. Tentera ini digunakan untuk mematahkan pemberontakan atau gangguan oleh bangsawan dan petani tempatan atau untuk mempertahankan diri daripada serbuan oleh orang Viking dari utara dan orang Magyar dari timur. Oleh sebab Jerman masih merupakan sekumpulan wilayah bebas yang saling bersaingan, pahlawan Jerman menjadi sangat mahir. Tentera Jerman yang paling terkenal ialah Satria Teuton, satu golongan pahlawan warak yang mendapat ilham daripada Perang Salib. Satria Teuton menyebarkan agama Kristian ke rantau Baltik melalui penaklukan tetapi akhirnya dihentikan oleh Alexander Nevsky pada pertempuran di tasik beku Peipus. Konfrontasi antara maharaja dan gereja tentang istiadat pemasyhuran telah melemahkan maharaja di Jerman dan Itali. Semasa tempoh pengucilan sementara maharaja dan perang menentang Rom, kuasa maharaja merosot. Putera Jerman tempatan menguatkan tanah pegangan mereka atau melawan orang Viking tanpa gangguan atau bantuan daripada maharaja. Di Itali, negara-negara kota yang semakin berkembang telah bergabung menjadi Liga Lombard dan enggan mengiktiraf maharaja. Kuasa politik di Jerman dan Itali berpindah daripada maharaja kepada putera dan bandar tempatan. Golongan ministriales memberontak, mengawal bandar-bandar dan kastil yang mereka pertahankan dan mengisytiharkan diri mereka bebas. Semasa percubaan terdesak untuk mendapatkan semula Itali, lebih banyak konsesi diberikan kepada putera-putera tempatan di Jerman. Menjelang pertengahan abad ketiga belas, Empayar Suci Rom wujud pada nama sahaja. Takhta kekal kosong selama 20 tahun. Putera Jerman hanya mengambil berat tentang tanah pegangan mereka sahaja. Negeri kota di Itali tidak mahu pemerintah Jerman dan cukup kuat untuk mempertahankan diri mereka sendiri. Maharaja pada Zaman Pertengahan selepas itu telah dilantik oleh putera Jerman tetapi mereka memerintah pada nama sahaja, dan tidak mengawal lebih daripada estet keluarga mereka sendiri. Jerman kekal sebagai kuasa kecil di Eropah selama berabad-abad yang akan datang.