Orang Viking Orang Viking (bermaksud "orang utara") ialah puak gasar terakhir yang digelar oleh orang Rom sebagai orang Jerman serta yang terakhir mengganas di Eropah. Berpindah keluar dari tanah air mereka di Scandinavia, mereka tiba-tiba menyerang kawasan seberang lautan daripada bot naga mereka (dipanggil sebegitu kerana kepala naga diukir pada haluan dan buritan). Mereka mula menyerang, menjarah dan berundur sebelum sebarang tentangan bersenjata yang serius dapat diaturkan, tetapi lama-kelamaan mereka semakin berani. Akhirnya mereka menduduki dan membina petempatan di kawasan penting di Eropah. Sebagai orang pagan, mereka tidak ragu-ragu untuk membunuh paderi dan merampas harta gereja, dan mereka digeruni kerana sifat tiada belas kasihan dan keganasan mereka. Pada masa yang sama, mereka merupakan petukang, pelayar, peneroka dan pedagang yang luar biasa. Tanah air orang Viking ialah Norway, Sweden dan Denmark. Mereka dan keturunan mereka telah menguasai, sekurang-kurangnya buat suatu tempoh, hampir keseluruhan Pantai Baltik, banyak kawasan pedalaman Rusia, Normandy di Perancis, England, Sicily, selatan Itali dan sebahagian daripada Palestin. Mereka menemui Iceland pada tahun 825 (rahib Ireland sudah berada di sana) dan menetap di sana pada tahun 875. Mereka menjajah Greenland pada tahun 985. Sesetengah pihak berpendapat bahawa orang Viking sampai di Newfoundland dan menerokai sebahagian Amerika Utara 500 tahun sebelum pelayaran Columbus. Orang Viking mulai menyerang dan menetap di sepanjang timur Laut Baltik pada abad keenam dan ketujuh. Pada penghujung abad kelapan, mereka melakukan serbuan yang lama ke sungai Rusia moden dan membina kubu di sepanjang jalan sebagai pertahanan. Pada abad kesembilan, mereka memerintah Kiev dan pada tahun 907 satu angkatan 2000 kapal dan 80,000 askar menyerang Constantinople. Mereka disogok oleh maharaja Byzantium dengan syarat perdagangan yang sangat baik. Orang Viking pertama menyerang Barat pada akhir abad kelapan. Orang Denmark menyerang dan menjarah biara pulau terkenal di Lindisfarne yang terletak di pantai timur laut England, memulakan suatu trend. Saiz dan kekerapan serangan terhadap England, Perancis dan Jerman meningkat hingga tahap pencerobohan. Petempatan telah didirikan sebagai pangkalan untuk serangan lanjut. Petempatan orang Viking di barat laut Perancis mula dikenali sebagai Normandy ("daripada orang utara"), dan penduduknya dipanggil orang Norman. Pada tahun 865, tentera besar Denmark telah menyerang England dan mereka menguasai hampir keseluruhan England selama dua abad yang seterusnya. Salah seorang raja England terakhir sebelum tahun 1066 ialah Canute, yang memerintah Denmark dan Norway pada masa yang serentak. Pada tahun 871, satu lagi angkatan laut berlayar di sepanjang Sungai Seine untuk menyerang Paris. Mereka mengepung bandar itu selama dua tahun sebelum dirasuah dengan bayaran tunai yang besar dan kebenaran untuk menjarah sebahagian kawasan barat Perancis tanpa halangan. Pada tahun 911, raja Perancis menjadikan ketua Viking dari Normandy seorang duke sebagai balasan kerana memeluk agama Kristian dan menghentikan serangan. Dari Duchy Normandy muncul beberapa pahlawan yang luar biasa termasuk William I yang menawan England pada tahun 1066, Robert Guiscard dan keluarganya yang menawan Sicily daripada orang Arab antara tahun 1060 dan 1091, serta Baldwin I iaitu raja kerajaan salibi di Jerusalem. Serangan orang Viking tamat pada akhir abad kesepuluh. Denmark, Sweden dan Norway telah menjadi kerajaan dan hampir keseluruhan usaha raja-raja mereka tertumpu pada pemerintahan negara mereka. Penyebaran agama Kristian melemahkan nilai pahlawan pagan lama, yang kemudiannya lenyap. Orang Norse juga diserap oleh budaya yang telah mereka ceroboh. Penduduk dan penakluk England menjadi orang Inggeris, orang Norman menjadi orang Perancis dan orang Rus menjadi orang Rusia.