Perang pada Zaman Pertengahan Pemahaman yang tradisional dan popular bagi peperangan di Eropah pada Zaman Pertengahan menyatakan bahawa satria berkuda menguasai medan perang Eropah pada tahun 800 hingga 1400. Satria memakai baju zirah plat dan menyerang dengan tombak, menyebabkan musuh bertempiaran, mencucuk dan memelantingkan sebarang askar berjalan kaki di laluan mereka ketika mereka menghampiri satria musuh untuk memenangi pertempuran. Zaman satria telah berakhir apabila infantri memperoleh semula peranan utama dalam pertempuran dengan senjata baharu (senjata api) dan menggunakan semula kemahiran lama (pembentukan askar tombak besar-besaran). Pandangan ini digalakkan menerusi karya seni dan catatan terhad tentang zaman yang memaparkan bangsawan berkuda sambil mengabaikan orang biasa dan petani yang berjuang dengan berjalan kaki. Tanggapan bahawa satria menguasai pertempuran dan bahawa perang melibatkan terutamanya serangan pasukan berkuda adalah salah. Tentera berjalan kaki merupakan komponen yang penting bagi semua tentera pada Zaman Pertengahan. Mereka berlawan secara berhadapan dengan senjata tangan dan sebagai pasukan misil (pelbagai jenis busur dan kemudiannya senapang tangan). Askar berjalan kaki sangat penting bagi kedua-dua pihak dalam pengepungan terhadap kastil dan kota berkubu. Perang pada Zaman Pertengahan sebenarnya dikuasai oleh pengepungan, tidak kira satu jenis atau yang lain. Pertempuran padang terbuka antara tentera jarang sekali berlaku. Tentera seolah-olah bermain catur, mengatur langkah untuk merampas kastil dan kota yang penting, sambil mengelakkan pertempuran yang mungkin merugikan angkatan yang besar dan mahal. Apabila pertempuran sengit sememangnya berlaku, satria boleh mengakibatkan kemusnahan besar. Serangan bersungguh-sunguh daripada satria berperisai adalah serangan yang sungguh kuat. Namun, besar kemungkinan bahawa kemenangan akan dicapai oleh pihak yang paling mahir menggunakan tiga komponen tentera utama, iaitu infantri senjata tangan, pasukan misil dan pasukan berkuda. Faktor yang sentiasa mempengaruhi pertempuran juga penting, seperti penggunaan rupa bumi yang bijak, semangat tentera, kepimpinan, disiplin dan taktik.